"Abi, nak susu kambing" Jerit anak nombor tiga Si Nuruddin.
"Nak jugak!, Abi nak jugak!" Sahut pula Si Nisrina
Sebotol susu kambing RM6.00 , kalau 4 orang dah RM24.00. Jerit sahut-sahutan anak-anak akhirnya suami akur beli jugak untuk semua seorang sebotol.
Dah beli, bising pulak semuannya tak boleh nak minum, sebab susu kambing masih beku. Nak minum kena tunggu cair. Bising lagi anak-anak Ku.
Pakcik Mualaf penjual susu kambing jatuh kasihan tengok budak-budak ni semua bising nak minum. Bukan haus sangat pun, tapi dah namapun budak-budak. Benda depan mata, serta merta jadi haus.
Bising lagi ramai-ramai, saya bawak mereka duduk di belakang gerai, kawasan letak kereta. Berkebetulan betul-betul belakang gerai Pakcik Mualaf penjual susu kambing.
Saya duduk anak beranak, suami teruskan tawaf pasar malam sendirian, tak nak anak-anak berdrama tengok pelbagai jenis juadah yang dijual. Pasar malam ni tempat kami mencari sayur kampung dan beli ubi keledek, keladi atau pisang untuk buat goreng. Paling tidak pun saya akan bebi putu mayam yang dijual untuk anak-anak makan. Jarang sangat beli makanan yang sudah siap masak. Biasa memang hari-hari masak dirumah. Tak ada alasan nak beli makanan di luar.
Tidak berapa minit lepas tu, datang pakcik Mualaf tu ke tempat saya dan anak-anak duduk. Dihulurnya seorang sebungkus teh tarik susu kambing yang dijualnya.
"Minum ya, pakcik belanja, jangan kacau ayah lagi" Kata pakcik Mualaf tersebut sambil menghulur air teh ais susu kambing yang di jualnya.
Allah! Allah, baik sungguh hati pakcik ni sedekah ke anak-anak saya. Kalau jual, sebekas tu RM2.50 . Murah hati sungguh memberi percuma kepada anak-anak saya.
"Pakcik, tak payah susah-susah pakcik, anak-anak saya ni bukan haus sangat, dalam kereta pun ada air. Saja je nak merengek. Tengok benda ada depan mata.
"Tak apa, budak-budak, biasalah. Saya tak sampai hati tengok budak-budak macam ni, mintak-mintak, tapi tak dapat." Balas Pakcik Mualaf tersebut,

"Moga murah rezeki pakcik berniaga. Terima kasih sedekah air untuk anak-anak saya." Balas saya pada pakcik tersebut.
"Tak apa, saya suka, tengok budak-budak macam ni, dah, jangan bising-bising dengan ayah lagi ye" Balas pakcik tu sambil berlalu pergi.
Biasa peniaga kalau bersedekah pun, lebihkan timbangan, atau potong kecik-keil apa yang dijual letak depan gerai, bagi orang lalu lalang untuk rasa. Ini diberinya 4 cawan air yang dijual sebab jatuh kasihan pada anak-anak ku yang comel nakal ni. Rezeki kamu anak-anak. Saya pesan dekat anak-anak, doakan pakcik yang beri air ni dimurahkan rezeki dan dilariskan jualan ya.
Sebab perangai korang yang comel-comel ni, pakcik yang jual air ni pun jatuh kasihan.
Kalau pergi pasar malam lagi, saya cakap dekat anak-anak, tak mahu lagi lalu lorong pakcik yang jual ni, Ummi segan.

