Friday, 14 July 2017

Cikgu Kampung



Ralit saya membaca naskhah karya Cikgu Shahidan Shuib. Kisah-kisah biasa, pengalaman beliau mengajar di sebuah sekolah  kampung yang kurang murid tetapi yang nyata sarat dengan ibrah. Kejayaan atau kepuasan seorang guru yang mengajar hakikatnya bukanlah terletak kepada berderetnya A, tetapi kepada usaha pelajar itu sendiri untuk membuat yang terbaik mengikut kemampuan dirinya sendiri.

Kisah yang mengajak kita berfikir dan bila membaca kisah-kisah yang ada saya sendiri terbayang zaman-zaman persekolahan saya kerana saya sendiri bersekolah di kampung. Pelbagai rencam 'peel' dan sikap pelajar yang harus dihadapi oleh cikgu setiap hari. Ada guru-guru dan sahabat yang telah dijemput pulang, hanya kenangan dan kisah-kisah lama menjadi kenangan dan ingatan.  Akhirnya bila habis sekolah rendah ada rakan sekelas saya yang memilih untuk menjadi nelayan mengikut ayah ke laut. Cabaran yang besar kepada cikgu kampung sebenarnya membangkitkan kesedaran kepada murid-murid betapa pentingnya ilmu.

Saya sendiri pernah berpengalaman menjadi Guru Sandaran Tidak Terlatih hampir setahun, akhirnya saya mengenal diri saya yang bukan  berjiwa pendidik. Berhadapan dengan anak murid yang beraneka ragam dan perangai membuatkan saya pernah menangis didalam kelas kerana tidak pandai mengawal kelas. Ini kerana saya tiada pengalaman dan diletakkan pula.mengajar di kelas hujung .Tekanannya adalah mengejar silibus dan dalam masa yang sama memastikan pelajar faham apa yand diajar. Saya mengalah dan tidak menyambun kontrak.

Tetapi apabila telah berkeluarga dan mempunyai anak sendiri akhirnya akur, tidak menjadi pendidik secara formal tidak bermakna boleh bergoyang kaki di rumah. Peranan ibu sebagai madrasah pertama anak-anak lebih berat tanggungjawabnya . Mengajar anak mengenal Allah, adab dan tatasusila. Amanah Allah yang dipertanggungjawabkan kepada ibu bapa sejak di alam roh lagi.

Mengutip ibrah dari Cikgu Kampung


Raya di Air Tawar 2

Ziarah ke rumah bapa sedara di Felda Air Tawar 2. Walaupun baru beberapa kali berjumpa, asbab pertama mencarinya dulu adalah kerana sebagai wali pernikahan saya. Kisahnya setelah arwah ayah berpisah dengan emak ketika saya berusia 2 tahun dan adik berusia setahun, saya dijaga oleh emak. Kemudiannya arwah ayah kandung meninggal semasa saya berusia 7 tahun. Saya langsung tak mengenali keluarga di sebelah arwah ayah. Berpisah hidup kemudian meninggal semakin menjarakkan saya dengan keluarga sebelah arwah ayah.

Bila sampai jodoh saya, wali semestinya daripada keluarga sebelah arwah ayah. Disebabkan datuk sebelah arwah ayah juga sudah meninggal, jatuh tanggungjawab kepada adik beradik arwah ayah saya untuk menjadi wali saya. Alhamdulillah beberapa bulan sebelum kahwin, saya dan bakal suami ketika itu bersama emak dan bakal emak mertua menjejak bapa saudara saya yang paling tua di Felda Air Tawar 2. Alhamdulillah sejak dari pernikahan saya menjadi asbab saya kembali menjalinkan semula tali silaturahim yang sekian lama renggang bersama keluarga sebelah arwah ayah. Meskipun agak kekok pada awalnya kemesraan kian terjalin sedikit demi sedikit.

Arwah ayah mempunyai 9 beradik 3 lelaki dan 6 perempuan. Bayangkan berapa kekoknya saya nak beramah mesra dan bercakap bersama emak dan bapa sedara yang seumur hidup saya tidak pernah saya kenal. Air dicincang tak akan putus, benarlah kata pepatah tersebut, buruk baik kedua-dua belah pihak adalah darah daging saya yang mana mengalir darah di dalam badan saya ini dari keturunan mereka.  Hikmah saya berpindah di Johor ini salah satunya saya dapat menjejaki semula keluarga di sebelah arwah ayah. Jika dulu emak dan keluarga sebelah ayah bermasam muka kerana penceraian, kini setelah semuanya di mamah usia, tiada apa yang perlu di ingat lagi.Biarlah segala yang buruk dan dan yang lepas menjadi lipatan sejarah. Boleh dikenang sebagai iktibar dan pengajaran kepada saya dan semua yang tahu. 

Menjadi anak mangsa penceraian sebenarnya kita akan membesar dalam hidup suasana yang penuh persoalan. Bila penceraian tersebut pula menjarakkan perhubungan keluarga kita akan rasa kekurangan. Bila melihatkan anak perempuan saya yang sulong berusia 6 tahun bermanja dengan suami dan rapat dengan suami saya bersyukur atas nikmat berkeluarga yang dikurniakan Allah kepada saya. Sungguh bila mengenangkan apa yang saya lalui semasa kecil, saya sebak. Biarpun saya berbapa tiri yang menjaga saya dan adik dengan baik. Saya rindukan sentuhan kasih sayang seorang bapa yang  boleh menidurkan saya, mengajar saya mengaji, menasihati saya tentang pelajaran dan sesekali belikan saya permainan. Alhamdulillah anak-anak saya dapat nikmat ini.

Bila sudah berkeluarga dan mempunyai anak sendiri, sebolehnya anak-anak menjadi keutamaan saya supaya tidak rasa kurang kasih sayang dan bimbingan saya dan suami sebagai ibu bapa.

Bapa saudara saya ni seorang peneroka felda. Sangat mesra dan menerima baik kunjungan kami anak beranak. Dapatlah anak-anak menumpang kasih seorang atuk. Anak-anak ketiadaan atuk dibelah saya dan juga suami jadinya menumpanglah kasih datuk sedara. Rasanya tidak pernah kami balik dari rumah bapa saudara saya ni dengan tangan kosong, sepanjang saya berziarah ke rumahnya. Sentiasa ada sesuatu sebagai buah tangan untuk kami bawa pulang. Mereke benar-benar meraikan kami sebagai tetamu mereka. Alhamdulillah.

Dalam hidup ini bukan semua perkara kita ada pilihan, termasuklah siapa yang akan menjadi ibu dan bapa kita. Walau apapun kisah mereka hingga berlakunya penceraian, kita sebagai anak wajib menyayangi dan mengasihi mereka. Doa dan rindu saya kekal untuk arwah ayah walaupun tak berpeluang merasa kasih sayangnya.



Monday, 3 July 2017

Ziarah Raya 2017

Hampir seminggu bercuti raya. Alhamdulillah kembali ke rutin biasa seorang surirumah. Mengemas baju yang di bawa pulang dari kampung je mengambil masa 2 hari. Sangat pek dengan aktiviti ziarah dan menerima tetamu daripada hari raya pertama hingga ke 6. Hari Raya ke 7 suami sudah mula bekerja. 

Kesempatan berziarah mengikut orang tua adalah satu peluang untuk saya dan suami mengenal dan mengetahui asal usul keluarga. Mungkin bila dah tak ada umur oran tua semua ini akan tinggal kenangan untuk kami. Bila mak saya ajak berziarah sepupu-sepupunya di Umbai. Saya tahu emak mesti teringatkan zaman kecil, zaman semasa dia dibesarkan, tempat dia bermain, tempat dia menghabiskan zaman kanak-kanaknya.

Arwah atuk dan nenek saya asal Melaka. Ada masa saya akan korek cerita daripada mak tentang cerita asal usul keturunan kami. Bukan untuk berbangga tetapi sekadar mengenal salasilah dan asal usul. Rasanya dari cerita-cerita arwah nenek dulu, arwah atuk asal orang Padang Temu, arwah nenek orang Umbai. Arwah atuk anak tunggal  dan macam pernah dengar ceritanya arwah atuk anak Cina anak angkat Melayu sementara nenek berketurunan Arab. Hasil perkongsia hidup mereka, dikurniakan 8 anak, arwah Pak Long, Mak Ngah, Mak Uda, Arwah Pak Andak, Arwah Pak Itam, Arwah Pak Utih, Cik dan mak yang bongsu di panggil Busu oleh anak buahnya. 4 daripadanya yang semuanya lelaki telah di jemput pulang.

Arwah atuk merantau sampai ke Muar, masa tu keluarga arwah nenek memang dah duduk di Muar, arwah atuk bekerja buat kebun dengan keluaga arwah nenek dan akhirnya mereka di jodohkan. Dalam ramai-ramai adik beradik emak, emaklah yang paling kenal sedara mara di Melaka ni. Maklumlah anak bongsu dan masih duduk di kampung, jadi semuasedara-mara yang sesekali datang masih kenal.



Setahun sekali mak berjumpa sepupu-sepupu banyak yang di ceritakan. Si polan tu dah sakit, si polan tu dan meninggal. Saya hanya mendengar sembang mereka dan tak kenal pun siapa yang disebut.

Masing-masing punya kisah dan cerita sendiri. Kalau zaman kita yang ada fb, whatsapp dan medium komunikasi yang mudah, semua cerita dan maklumat di hujung jari. Tapi bagi warga emas seperti emak, ziarah setahun sekali, sembang mesra walaupun sekejap, berjabat tangan melerai rindu adalah lebih bermakna lebih-lebih lagi di hari raya. 

Sembang-sembang orang tua, saya yang muda pasang telinga juga, ada terselit nasihat, doa dan harapan melihatkan kehadiran kami.

Semoga ada umur untuk saya mengekalkan silaturahim ini. Walaupun hubungan kekeluargaan sudah semakin jauh. Tetapi mengenal asal usul itu adalah salah satu nikmat.




Selamat Tahun Baru 2020

Dah masuk minggu ke 3 Januari 2020, baru hari ni tiba-tiba datang semangat dan keinginan nak menulis semula. Awal menulis di blog ini dulu t...