Tuesday, 24 October 2017

Pantai Cantik Di Sedili


Ke Kuala Sedili mencari kerang
Kerang di bawa di dalam perahu
Bila diri di hina orang
Menangis di hati siapa tahu


Pantun yang tidak ada kena mengena pun. Cuma ada disebut Kuala Sedili. Selain Telok Sengat, Kuala Sedili adalah tempat kegemaran saya dan keluarga untuk berehat menenangkan fikiran.



Kuala Sedili ni hanyalah perkampungan nelayan dan terdapat juga pekan kecil tempat aktiviti perniagaan. Tiada bank, supermarket besar jauh lagi shopping kompleks malah stesyen minyak pun tak ada. Kalau keputusan duit di tangan perlu ke Bandar Kota Tinggi yang memakan masa hampir setengah jam perjalanan. Kali pertama kami ke sana kebetulan memang tak ada duit tunai di tangan. Ada RM25.00 dalam tangan. Dalam masa yang sama anak-anak dah merengek kelaparan. 

Singgah di kedai makan tepi jalan di Sedili Besar.  Dengan RM25.00  Alhamdulillah kami dapat makan tengahari dengan lauk ikan yang fresh dan murah. Kos sara hidup di sana masih murah. Keadaan pantainya juga masih bersih dan kurang tercemar. Sangat sesuai untuk di bawa anak-anak bermain pasir. Pengujung juga tak ramai seramai pantai-pantai lain yang terkenal. 

Cuti Deepavali baru-baru ni kami sekeluarga bercuti disana mengisi masa cuti.Bertolak dari rumah jam 8.30 dah sampai dalam pukul 10. 30 pagi. Disebabkan lepas masak terus bungkus masuk ke dalam kereta. Sampai ke sana semua dah kelaparan hehehe. Bentang tikar tak berlengah lagi semua mengisi perut sebelum turun ke bermain pantai dan air laut.




 Menu mudah, digemari semua dan tak renyah nak buat semestinya nasi lemak. Mula masak jam 6.30 pagi, pukul 8 siap semua bekal. Kain baju juga sempat jemur satu pusingan. Sebagai tambahan saya rebus keledek manis dan juga bawa buah epal untuk kudap-kudapan. 

Setelah berhari-hari hujan, Alhamdulillah cuara panas terik waktu kami sampai di tepi pantai. Duduk di bawah pokok yang rendang, memandang ke pantai yang terhampar luas, terbayang kepanasannya  jika bermain pasir dan air laut. Rupanya bila duduk di pasir pantai dan ditiup bayu laut, rasa panas terik itu hilang. Anak-anak semuanya seronok bermain dan tidak terasa kepanasannya. Bila balik rumah barulah semua perasan muka dah berbelang dan berkilat. Tak apalah bukan selalu punkan :) .





Pantai yang cantik dan masih belum tercemar kerana kurang pengunjung. Harapnya biarlah kekal begitu. Kami sendiri membawa plastik sampah dan pastikan semua anak-anak mengutip sampah dan sisa makanan yang ada supaya tidak di buang merata-rata.  Tepat jam 12.30 tengahari kami semua berkemas dan meninggalkan Kuala Sedili. Memang rancang bertolak balik sebelum masuk waktu zohor.  

Destinasi kami seterusnya adalah Kampung Makam yang terletak di Kota Tinggi. Hanya 10 minit perjalanan dari bandar Kota Tinggi. Kampung Makan ini tempat yang terkenal dengan kisah Kesultanan Melayu Johor dan di situlah terletaknya Makam Sultan Mahmud Mangkat Di Julang. Kebetulan semasa suami berhenti mengisi minyak di Petronas, Saya terpandang papan tanda Kampung Makam. Memori saya masih kuat mengingat di situlah letaknya Makam Sultan Mahmud Mangkat Di Julang. Jadinya sementara ada kesempatan kami bercadang ke sana melihat tinggalan sejarah dan Makam-makam lama yang berkaitan dengan Kesultanan Melayu Johor. 

Anak Johor kan.. belajar sejarah baliklah kita !







Sunday, 22 October 2017

Pisang Meda




Saya jenis tak kenal pisang. Yang betul yakin saya kenal adalah pisang tanduk, pisang nipah dan pisang nangka. Pisang nipah saya kenal memang ada di tanam belakang rumah. Sedap di buat pisang goreng. Pisang tanduk memang seng di kenali kerana saiznya yang besar . Pisang nangka pula kerana baunya yang agak kuat seakan bau nangka apabila sudah masak. Warnanya pula hijau kekuningan bila sudah masak
Semasa saya, suami dan anak-anak ke kebun sayur baru-baru ni, pekerja kebun sayur tersebut memberikan kami setandan pisang.Pisang dah tua di pokok tetapi masih tidak di tebang hingga habis daun hijaunya. Banyak pisang yang mereka tanam masak serentak, jadinya mereka tak termakan. 

Seorang pekerja bernama Agus, yang rajin melayan kedatangan kami beri kami setandan pisang.. Pisang matang  tapi belum masak lagi. Melihatkan pisang tersebut masih benar-benar muda, saya ambil empat biji buat gulai lemak. Alhamdulillah boleh tahanlah rasanya.Tetapi hanya kami berdua suami isteri yang makan. Anak-anak tak pandai nak makan nampaknya. Suruh dicuba pun tak mahu.
Bila dah nampak kekuning-kuningan saya cuba makan sebiji, rasanya kelat yang amat. Melekat rasa di gigi kesan kelatnya.  Tanya suami nama pisang itu, rupanya dia pun tak kenal.  Saya whatsapp gambar ke emak bertanyakan nama pisang, agak lama saya tunggu emak menjawab maka saya bertanya di group kebun bandar. Macam-macam nama pisang yang diberi , melalui jawapan-jawapan tersebut saya percaya nama pisang ini adalah pisang rastali. Selalu dengar nama pisang rastali tapi tak pernah kenal. Tak kenal maka tak cinta. Eh!

Pisang ni kalau nak makan kena dah betul-betul masak ranum baru sedap tak kelat. Tunggu bintik-bintik hitamnya dah banyak keluar bertambah manis rasa pisang ni. Jika dah benar-benar masak, kulitnya senang di buang, jika tidak kulit pisang ini masih keras dan sukar dikupas. Struktur isinya halus je bila di buat cekodok. Tak sesuai dibuat goreng tetai sesuai di buat kek pisang nanti menghasilkan corak yang cantik.
Bila mak saya pula jawab whatsapp, mak saya kata ini pisang meda. Orang belah selatan panggil pisang meda  Memang sedap di makan mentah je bila betul-betul masak. Selalu orang buat sedekah di masjid mak kata inilah pisangnya.

 Anak-anak dah seronok bila ada pisang masah Mereka ajak saya buat kek pisang.. Saya  rancang nak buat muffin pisang bersama mereka esok. Memasak sambil belajar

Saturday, 21 October 2017

Terung berlada



Masak terung goreng bersambal harini.
Beli barang dapur di Mydin 3 hari lepas, suami ambil 2 biji terung. Beratur untuk timbang dan dapatkan label harga, saya nampak suami bercakap dengan pekerja di stesyen timbang tu. Agak lama dan macam ada perkara yang dia tak puas hati.
Saya pergi dapatkan suami dan bertanya kenapa. Rupanya di tempat terung tu dah salah label harga.
2 biji terung harganya rm5.60 sen. Terkejutlah sekejap. Di tempat terung di label rm4 ringgit sekilo. Bila beli dan timbang, jadi rm8.00 sekilo.
Suami saya suruh pekerja tu betulkan label harga supaya orang lain pun tak tersalah nanti. Agak mahal terung 2 biji RM5.00. Sebab dah bungkus dan memang suami yang berhajat dengan terung tu ambil jugaklah walaupun mahal.

Terung ni bayak jenis rupanya. Walau pun semua seakan-akan sama. Terung yang suami beli ni besar dan cantik. Warna ungu pekat yang berkilat. Sebiji saya dah masukkan ke dalam kuah asam pedas. Tinggal lagi sebiji saya buatkan terung berlada. Itulah hajat suami sebenarnya tetapi tak cakap kepada saya. Bila saya cakap dah masukkan ke dalam asam pedas baru dia cakap nak suruh buat terung goreng berlada.

Maka terhasillah menu terung goreng berlada untuk menu hari ini. Terung ni kulitnya agak tebal sikit dan isinya lebih manis. Mungkin sebab itulah harganya lebih mahal sikit. Bukan mahal sikit sebenarnya mahal banyak.

Ini cara saya masak terung goreng berlada.

Bahan-bahannya
sebiji terung saiz sederhaha
5 biji bawang merah di tumbuk
bawang besar di potong sebagai hiasan
Segenggam ikan bilis
Cili giling anggaran 5 sudu besar.
Minyak masak 
Garam
Asam keping
Gula

Cara-caranya
Terung di asuh dan di potong sederhana tebal dalam bentuk bulat. Panaskan minyak dan goreng ikan bilis hingga garing. Angkat dan toskan. Kemudian  goreng terung. Api jangan terlalu perlahan kerana terung ini akan serap minyak. Goreng pun sekejap sekadar untuk melayukan terung.

Kurangkan sedikit minyak dan bolehlah tumiskan bawang yang telah di tumbuk dan juga cili giling. Patikan cili betul-betul masak. masukkan sedikit air dan letakkan asam keping. Dah nampak mendidih, masukkan gula dan garam. Garam pun jangan terlalu banyak sebab ikan bilis sudah masin. Bila sambal sudah agak kering padamkan api. Masukkan terung dan ikan bilis yang yang telah di goreng tadi. Gaul-gaul dan booleh angkat. Sedia untuk di hidangkan.

Biasa kalau lauk-lauk macam ni paling sedap di hidangkan dengan nasi panas-panas. Alhamdulillah. dapat sediakan menu untuk orang tersayang. Walaupun simple tetapi menjadi kegemaran semua




Friday, 20 October 2017

Kasih Sayang dan Cinta Rasululah kepada Keluarga

Mencari Idola ? Cukuplah Rasulullah SAW sebagai contoh tauladan yang terbaik untuk diri kita dan keluarga.
Saya baca Buku "Senyum dan Tangis Rasulullah SAW". Hadiah seorang sahabat kepada saya tahun 2009 yang lalu. Saya tak pernah baca tapi cukup sayang kerana buku sememangnya hadiah yang amat saya hargai.
Semalam tergerak membacanya kerana melihatkan deretan buku-buku yang tersusun kemas, rasa bersalah tak menyentuhnya.
Rasulullah manusia sempurna yang mempunyai perasaan mendalam dari segi kasih sayang. Mengalami rasa sedih hingga mengalirkan air mata tetapi juga boleh berjenaka.
Bagaimana sifat Rasulullah dengan isteri-isterinya? Bagaimana pula sikap Rasulullah SAW dengan anak - anak dan cucu-cucu baginda?
Banyak kisah-kisah yang menunjukkan penyayangnya Rasulullah. Berlemah- lembut dengan semua termasuk musuh. Sikapnya penuh hikmah. Saya baru baca bab pertama tettapi amat terkesan dengan sifat-sifat penyayang Rasulullah ini. Kadang-kadang bukan kita tidak tahu. Berdamai dengan diri dan cubalah praktikkan untuk diri sendiri dan keluarga. Seterusnya skop yang lebih besar bersama masyarakat.
Antara contoh sifat penyayang dan kecintaan Rasulullah kepada ahli keluarganya yang diceritakan adalah Rasulullah pernah makan dan minum dalam bekas yang sama dengan isterinya Saidatina Aisyah. Perkara nampak simple tetapi itu tanda kasih dan cinta suami isteri. Betul tak?
Ada satu kisah yang dicatatkan dalam buku ini sewaktu menonton akrobatik dari Habsah. Maklumat lanjut akrobatik ini tidak pula di nyatakan. Saidatina Aisyah meletakkan dagu beliau di atas bahu Rasulullah. malah baginda bertanyakan kepada Aisayah berulang kali adakah Aisyah berpuas hati dengan pertunjukkan tersebut. Komunikasi itu penting, itu yang Rasulullah amalkan bersama keluarga. Walau macamana sempurnapun secara zahir keperluan keluarga, komunikasi dan sentuhan itu penting sebagai cara mententeramkan jiwa dan melayakkan diri rasa di hormati.
Dicatatkan juga kisah Rasulullah membelai dan mencium penuh kasih sayang anaknya Ibrahim sewaktu Ibrahim diletakkan di atas rumah seorang tukang besi waktu dalam tempoh penyusuannya. Walaupun jauh, Rasulullah tetap berkunjung dan duduk di sisi bayi tersebut meskipun tempat tersebut di penuhi asap. Cinta dan kasih seorang ayah, meskipun seorang pemimpin masyarakat, Rasulullah memenuhi tuntutan cinta seorang anak dan menunjukkan contoh kepada umatnya, kasih-sayang itu sememangnya fitrah manusia yang tidak boleh dinafikan. Lebih-lebih lagi anak-anak kecil yang sememangnya perlu perhatian ibu dan ayah.
Hassan dan Hussain adalah cucu kesayangan Rasulullah dan anak kepada Fatimah. Kasih sayang Rasulullah tergambar bila mana baginda menjadikan diri baginda sebagai kuda tunggangan untuk cucu-cucu baginda. Hassan dan Hussain juga sering diletakkan di bahu tanda meraikan sifat kanak-kanak mereka.
"Seseorang yang tidak mempunyai kasih sayang kepada orang lain, maka dia tidak layak mengharap kasih sayang orang lain terhadap dirinya"
Itu jawapan Rasulullah kepada persoalan mereka yang berasa hairan melihat perbuatan Rasulullah SAW mencium cucu-cucu baginda.
Jika kita mengharapkan kasih sayang anak dan keluarga kepada kita apabila sudah tua nanti, pamerkan dan berikan kasih sayang kita seikhlasnya kepada keluarga. Anak-anak juga akan meniru cara kita sebagai ibu bapa kelak apabila mereka sudah dewasa nanti dan mendidik zuriat mereka.
Inilah kasih sayang Rasulullah seorang suami, bapa dan datuk yang mulia. Tidak segan mencium dan menunjukkan kasih sayang kepada keluarganya. Itulah juga yang diajarkannya kepada seluruh manusia.
Jom cium dan peluk ahli keluarga kita.

Wednesday, 18 October 2017

Melipat Pakaian



Melipat kain pun ada seninya.Disebabkan kita dibesarkan dari rumah yang berbeza. Perkara yang satu ini juga mungkin berbeza cara setiap orang. Zaman bujang waktu duduk rumah sewa dulu, serius saya rasa cara saya lipat kain yang betul Orang lain salah. Bila lihat kawan-kawan lain lipat kain, saya bercakap dalam hati " Salah cara dia lipat ni"

Betul bagi kita atas sebab didikan dan cara asuhan kita begitu. Bukan bermakna cara dan tknik orang lain melipat kain salah. Begitu juga dalam hal-hal lain. Selagi tidak berkait dengan hukum yang di tetapkan agama. Raikan jelah perbezaan antara kita. 

Hari ini anak perempuan sulong saya rajin nak menolong melipat kain. Saya memang dah biasakan dia seawal usia 4 bantu saya melipat kain atau menyidai baju.  Biasanya juga waktu melipat kain memang saya akan libatkan semua anak-anak untuk membantu. Baju saya dan suami akan dijemur menggunkan hanger jadi kalau  angkat terus simpan. Ini salah satu kaedah menjimatkan masa untuk melayan kain baju setiap hari.

Untuk  kain batik, kain pelekat, seluar-seluar kerja suami kebiasaannya saya lipat dan diletakkan di rak. Baju harian anak-anak saya sediakan seorang satu bakul. Bila kering asing dan terus letakkan mengikut  bakul masing-masing. Bila hari saya melipat baju, mereka akan angkat dan letak pakaian masing-masing di dalam bakul yang telah dikhaskan untuk mereka. Sementara baju-baju yang digunakan untuk buat berjalan saya letakkan di dalam satu almari berkongsi tiga beradik.

Bila melihat hasil kerja anak perempuan saya melipat kain, memang betul-betul cara saya melipat kain di ikutnya.Cara ini jugaklah yang diperturunkan oleh arwah nenek saya kepada saya. Lipatannya kemas, sama saiz dan di susun elok. Arwah nenek saya seorang yang cerewet dalam segala hal. Kalau arwah melipat baju, kita yang melipat bersama dengan dia pasti akan ada teguran membetulkan cara saya yang salah. 

Bila dah di ajar dari kecil cara melipat begitu. Hati seakan tidak terima bila melihat orang lain lipat baju bukan seperti yang kita buat. Alhamdulillah tabiat begitu sudah berkurang dalam diri. Menerima seadanya setiap orang mempunyai cara sendiri. Lebih-lebih lagi anak sendiri yang bemur 6 gahun. Puji dan ucap terima kasih. Walaupun tak sempurna di mata kita


Monday, 16 October 2017

Kilang Sawit FGV

Sembang-sembang dengan suami sebelum tidur. 



Suami bagitahu tahun depan satu kilang sawit berhampiran sini akan ditutup. Pekerja-pekerjanya samada akan bersara pilihan, pindah ke kilang berhampiran ataupun pindah ke kilang-kilang sawit di negeri masing-masing. Kawan kerja dia ada seorang yang dah hantar nama nak balik bekerja di negeri sendiri.

Saya walaupun hanya surirumah, ikuti jugak kisah FGV ni. FGV ni kalau betul-betul pengurusan kewangannya, gaji-gaji operator kilang ni boleh bagi lebih sikit pada fikiran saya. Gaji seribu lebih je zaman sekarang ni mana nak cukup. Lebih-lebih lagi yang dah berkeluarga dan anak-anak bersekolah.
Suami cerita bos@pengurus kilang sawit tempat dia bekerja seorang yang kuat kerja. Salah sikit atau tak capai target semua pekerja kena letiaq. Saya cakap bos memanglah macam tu. Memang dah tanggungjawab dia nak kena jaga satu kilang tu. Kalau apa-apa hal dia yang kena. Saya tengok muka bos dia pun memang seorang yang serius. Pagi-pagi dari rumah ni saya dah nampak dia 'round' dengan Perodua Kembara dalam kilang check keadaan kilang.
Suami cerita di kilang ni proses buah mentah. Selain dari ladang-ladang milik Felda, buah- buah luar dari ladang-ladang persndirian pun ada yang hantar buah ke kilang di tempat beliau bekerja untuk di proses. Buah mentah ni akan di gred dan di nilai. Buah rosak, tak cukup masak akan di tolak. Hanya buah yang elok je yang akan di proses.
Masa-mula-mula duduk sini, saya sangkakan kilang sawit ni proses buat minyak yang macam kita guna di dapur. Cantik jernih warnanya dan berlabel. Rupanya di kilang ni hanya proses bahan mentah. Buah sawit yang di proses di kilang ni hasilnya nanti minyak mentah berwarna gelap dan keruh. Kalau tengok pun tak lalu nak guna buat masak suami kata. Hahaha
Minyak yang terhasil ini pula akan di cek tahap rasanya. Senang cerita Qualiti Qontrol. Ada makmal dalam kilang yang akan cek dan periksa kualiti minyak tersebut. Kalau terlalu masam, akan ganggu rasa minyak masak yang akan di hasilkan nanti. Untuk mengurangkan rasa masam tu, kenalah campur dengan minyak lain yang baru di proses bagi neutralkan rasanya balik.
Minyak perahan pertama dari kilang ni nanti akan di bawa ke kilang pemprosesannya di Pasir Gudang. Di situlah akan di proses tahap seterusnya maka terhasillah minyak masak seperti yang kita gunakan di dapur tu.
Tugas suami saya di kilang adalah jaga jentera elektrik di kilang, kalau berlaku sebarang kerosakan atau masalah berkaitan elektrik di kilang, dia dan team budak elektrik yang kena pantau dan periksa. Disebabkan kilang beroperasi setiap hari, team elektrik pun kena sentiasa ada setiap masa.
Kadang-kadang dia nak cerita hal kerja dia saya dengar je. Kita pun nak faham jugak suasana kilang tempat kerja tu macamana. Masa mula-mula pindah sini dulu, nampak asap kilang depan rumah, anak-anak kata abinya kerja padam api. Sebab masing-masing ada pengalaman tengok rumah terbakar masa di Kuala Lumpur dulu.
Dari dulu sampai sekarang memang tak pernah kalut nak gosokkan baju suami. Sebab suami kerja tak pegang pen. Pegang test pen je.


Hehehe



Kebun Atuk




Semalam kami pergi kebun sayur 'atuk'. Kebun sayur dalam felda ni sebenarnya. Arnab kami yang 3 ekor tu kami letak di kebun sayur tu. Setelah 2 kali gagal memelihara anak-anak arnab tersebut. Mati semua anak-anak arnab yang kami kami bela.
Gembiranya tengok semalam. Satu ibu tu dah beranak 7 ekor. Seekor lagi beranak 4 ekor. Alhamdulillah sihat membesar semuanya. Saya tanyakan pekerja kebun sayur tersebut macamana dia bela, tak mati seekor pun.
Cara mereka bela, bila dah beranak mereka asingkan ikut ibu masing-masing, lepas tu sediakan satu bekas paip pvc yang besar, tutup satu lubang. Letakkan anak-anak arnab yang baru lahir ke dalam tu. Setiap kali nak susukan anak, ibu arnab akan masuk sendiri ke dalam bekas paip tersebut. Mereka tak bantu langsung untuk susukan.
Berkebetulan masa pergi sana beberapa bulan lepas, pekerja-pekerja kebun sayur tu suarakan hasrat nak beli 'kelinci'. Suami tak tahu apa tu kelinci. Saya tahu kelinci tu arnab sebab pernah pergi jalan ke Bandung dulu. Banyak jual sate kelinci@arnab tepi-tepi jalan sepanjang perjalanan kami. Rupanya bila kami ke sana ambil sayur untuk arnab, mereka pun tak tahu arnab tu kelinci. hehehe.
"Tak apa, tak payah beli, nanti saya beri kelinci yang saya bela. Kamu bela di sini. Nanti kalau dah beranak, saya ambil anaknya untuk bela". Kata suami saya pada Agus dan Jari.2 orang pekerja kebun sayur tersebut yang rajin melayan kami sekeluarga.
Mereka ni pekerja dari Indonesia, bekerja kebun sayur tokey Cina. Sambil-sambil tu mereka bercucuk tanam keliling tempat tinggal mereka. Kalau balik dari sana tak pernah tangan kosong. Sayur-sayuran, pisang 2-3 jenis, jagung, lengkuas halia, serai, betik, apa sahaja yang ada waktu tu mereka akan beri kami sekeluarga.
Kami datang sana tak tahu nak bawa apa, sesekali kami bawakan baju-baju t-shirt dan seluar terpakai atau sesekali belikan makanan ringan untuk mereka. Orang-orang sini pun rasanya tak pernah sampai ke kebun sayur tu. Kebetulan suami cari sayur untuk arnab peliharaan kami, kemudiannya mereka yang membela arnab kami. Sekarang baik macam saudara pulak.
Ini sebenarnya salah satu cara nak meluaskan pengalaman anak-anak jugak. Kalau selalu bawa berlibur ke bandar, sesekali bawa berlibur mengenal alam, bertemu orang-orang yang berbeza rupa dan cara hidup.
Mereka ni ada yang Islam ada yang tidak. Entah- entah mereka ada kelulusan, cuma tak ada peluang mencari kerja yang lebih baik. Ada seorang tu siap cakap anak dia yang umur 5 tahun masuk playschool kat Indonesia.
Saya cadangkan sesekali bawak mereka ngopi.. Hehehe ajak datang rumah macm tak selesa pulak. Sebab lelaki.
Dunia ni luas kalau nak belajar hai anak-anak.. Perhatikanlah sekelilingmu dan selalulah berfikir.

Sunday, 8 October 2017

Task 1-Kunci Pembuka Surah Al Fatihah

Alhamdulillah berjaya walaupun saya agak lambat bergerak untuk menyelesaikan task pertama yang telah diberikan oleh Cikgu Rabiatul Adawiyah Alhamdulillah saya dapat hayati dan menambah kefahaman saya berkenaan kunci pembuka Surah Al Muk ini iaitu Surah Al Fatihah.
Kunci ilmu adalah membaca atau bahasa Arabnya (Iqra').
Kita yang lemah lagi banyak kekurangnan ni kena iktiraf atau mengaku kelemahan diri kita baru Allah akan buka jalan dan pintu hati kita untuk memahami ayat-ayatNya.
Bila Cikgu menyenaraikan persediaan peralatan dan emosi untuk memahami Surah Al Mulk ini salah satunya adalah mengamalkan zikir. Zikirnya adalah "la hawla waala quwwata illa billah" setiap hari, dengan menjadikannya rutin 10 kali atau lebih. Inilah salah satu cara kita meminta pertolongan agar Allah permudahkan urusan kita (saya) untuk menuntut ilmu
"Sesungguhnya tiada yang maha gagah untuk memudahkan sesuatu yang susah kecuali Allah"
Surah Al Fatihah yang disebut Ummul Kitab merumuskan keseluruhan Al Quran (113 surah). Itulah 7 ayat yang jika tidak dibaca dalam solat kita sehari-hari menjadikan solat kita tidak sah. Pengulangan Surah Al Fatihah sebanyak 17 kali surah Al Fatihah di dalam solat kita sehari-hari pastinya punya signifikannya kepada kehidupan kita sehari-hari sebagai hamba.
Setiap satu ayat di dalam surah Al Fatihah merumuskan keseluruhan AlQuran.
1. Allah memperkenalkan namaNya yang mulia iaitu Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Nama Allah yang paling banyak di sebut di dalam Al Quran
2. Allah menceritakan tentang kekuasaanNya. Tuhan yang menguasai sekelian Alam . Bagaimana kita memandang alam. Burung yang terbang, pokok yang tumbuh, perjalanan malam dan siang dan lain-lain.
3. Allah yang menguasai hari pembalasan iaitu akhirat. Cerita tentang akhirat adalah cerita tentang masa depan.
4. Tujuan Hidup. Allah menjadikan kita sebagai hambanya . Ada perintah-perinth tuhan yang kita kena patuh dan sebagai hamba kita juga akan diuji.
5. Syariat Islam. Ada panduan di dalam AlQuran bagaimana menjalani kehidupan sebagai hamba Allah di muka bumi. Antaranya berkenaan berjual beli, nikah kahwin dan sebagainya
6. Kisah-kisah orang beriman di dalam Al Quran seperti kisah nabi-nabi . Kisah Luqman, Kisah Zulkarnain.
7. Kisah-kisah orang jahat seperti kisah Qarun, Namrud dan seagainya
Kupasan dan huraian lanjut berkenaan Surah Al Fatihah ini ada saya sertakan linknya di bahagian komen.
Membaca sahaja Surah Al Fatihah tanpa memahami dan mendalami setiap bait ayat yang kita baca berulang-ulang, terutamanya didalam solat satu kerugian.
Apa implikasi dari bacaan-bacaan tersebut bagi kehidupan sehari-hari kita tidak mampu kita ungkai.
Inilah kunci pembuka atau miftah iaitu kunci pembuka untuk menggali khazanah AlQuran.
Bagaimana mahu menghayati dan menghargai Al Quran. Hayatilah dulu surah pembuka ini.
InshaAllah ada jalannya Allah mudahlan. InshaAllah

Selamat Tahun Baru 2020

Dah masuk minggu ke 3 Januari 2020, baru hari ni tiba-tiba datang semangat dan keinginan nak menulis semula. Awal menulis di blog ini dulu t...