Friday, 31 March 2017

Nakal menceriakan!


Ada satu hari tu kami pergi Aeon Kulai. Nublah anak yang sulong dan Nuruddin anak yang ke tiga ikut ummi cari barang bahagan bawah. Suami dukung Nisrina anak yang bongsu dan bawa Nu'man anak nombor dua cari barang bahagian atas. 
Tengah khusyuk pilih barang, dengar annoucement. Lebih kuranglah..

"Sila awasi anak-anak anda, jangan biarkan anak anda berkeliaran. Sesiapa ada kehilangan anak lelaki berbaju melayu, sila ke kaunter pertanyaan dengan segera."


Dalam hati berkata Alhamdulillah bukan Nu'man.Dia pakai t-shirt tadi.
Lepas tu selang beberapa minit dengar lagi sekali annoucement budak kehilangan mak dan ayah. 
Budak yang sama berbaju melayu!.

Lepas pilih-pilih barang, cari suami di bahagian atas. Nampak suami sedang membelek-belek baju. Nu'man sedang makan keropok.
"Ummi tak dengar ke tadi pengumuman budak hilang" soal suami
"Dengar, budak pakai baju melayu. Dah jumpa ke mak ayahnya?" Jawab saya 
"Budak berbaju birulah bukan baju melayu.." balas suami
"La.. Nu'man ke yang hilang tadi. Orang ramai, pengumuman tadi tak dengar jelas sangat. Ingatkan budak berbaju melayu, rupanya berbaju biru. Tak menangis ke Nu'man tadi? Saya membalas panjang lebar
" Seronok lagi ada, siap cakap Man suka hilang boleh makan keropok.. Ada kakak beri makan keropok. Siap boleh tersenyum-senyum lagi."
Itulah Nu'man nakal menceriakan. Setiap kali ke Aeon sebenarnya memang tahu ke mana tempat yang nak di tujunya. Tak lain tak bukan tempat barang mainan. Bila di tanya dah besar nak jadi apa. Cita-citanya nak jadi Heli. Sebab minat kartun robocar poli. 

Menggamit memori dengan pokok geroda


Masa ke Pontian Rabu baru ni, singgah kedai makan , makcik kat kedai tu semai banyak sangat pokok geroda ni. Dengan muka tak malu mintak sepokok. Dia kata orang ada anak kecil memang selalu mintak pokok ni. 
Sebenarnya bila tengok pokok ni teringatkan arwah nenek. Arwah bidan kampung dulu. Memang selalu guna pokok ni tenyeh dengan minyak sapu ke budak-budak yang menangis. Atau letak ke budak-budak kecil , kononnya hantu setan takut. Hehehe

Bila di google banyak jugak kegunaannya mengikut kepercayaan orang-orang dahulu . Melalui kajian saintifik pula, pokok herba ini bersifat anti-kejang, analgesik, anti-radang, anti-toksik, karminatif, anti-piretik, dan beracun.Ianya tidak sesuai di gunakan oleh ibu mengandung
    Saya tanam pokok ni bukan sebab percaya kepada kepercayaan boleh menghalau hantu syaitan .Tapi sebab teringatkan arwah nenek. Bau daun pokok ni sangat kuat dan busuk Itu yang menjadi kepercayaan orang dulu-dulu hantu syaitan akan takut. 
    Zaman sekarang masih ada lagikah orang percaya benda-benda macam tu? 

    Thursday, 30 March 2017

    Aktiviti melukis dan menulis untuk anak-anak


    Aktiviti melukis sememangnya antara aktiviti yang digemari anak saya.Cara saya, saya sentiasa menyediakan kertas A4 dan sebekas pensil warna untuk anak-anak melukis dan mewarna.Setiap kali lepas melukis mereka akan tunjukkan hasilnya pada saya dan amat seronok jika lukisan mereka mendapat pujian. Hasil lukisan tersebut akan mereka tampal di dinding bilik mereka.

    Melalui pembacaan saya dari buku Anak Cerdas,Anak Indah, Method Mendidik Anak Sesuai Fitrah oleh Mansur Hj Sukaimi, kita boleh memulakan seawal usia 3-6 bulan dengan ibu dan ayah sendiri melukis dan anak melihat apa yang dilukis. Anak-anak ini akan merakamkan dalam memori mereka jika aktiviti tersebut dilakukan berkali-kali hingga tiba masanya anak tersebut mampu memegang pensil, gambaran yang sering dilukiskan oleh ibu ayah tersebut akan 'keluar' dan anak tersebut akan mampu melukisnya dengan mudah.

    Untuk melukis dan menulis, anak-anak perlu melihat dengan dekat (near fokus). Untuk membantu anak membina fokus dekat sejak dari kecil, jangan meletakkan anak dalam posisi terlentang sepanjang masa kerana dalam posisi tersebut, anak akan lebih banyak memandang jauh dan tidak berlatih fokus dekat. Selain daripada itu, beri peluang untuk anak merangkak dan menyelaragar tumpuan matanya di arah ke lantai (near fokus) dan jari-jarinya cepat terbuka.

    Peringkat awal, melukis dan menulis bagi anak kecil adalah satu aktiviti yang bebas, kita sebagai ibu bapa jangan terlalu memandang kesempurnaan, inginkan anak mewarna dalam ruang, menulis ikut garisan dan menetukan warna-warna yang dipilih. Berikan mereka kebebasan dahulu agar tidak kekok memegang pensil. Idea dan kreativiti mereka akan berkembang.

    Jika anda ibu bapa yang 'jiwa kering' pasti mampu tersenyum melihat mural yang dihasilkan anak-anak di dinding rumah. Saya percaya kebolehan dan kekereatifan anak-anak saya melihatkan hasil contengan mereka di dinding.

    Kenangan



    Sesekali balik kampung, banyak kenangan arwah nenek dan datuk yang saya terimbau. Alfatihah untuk mereka yang menjaga saya bagai menatang minyak yang penuh.

    Rumah pusaka banyak ceritanya. Dirumah tersebut saya dibesarkan dan saya cuba mengingati detik-detik indah zaman kecil saya yang sedikit sebanyak mencorakkan hidup saya sekarang.

    Arwah datuk saya bekas polis dan sangat berdisiplin dalam hidup sehari-hari.  Saya sangat ingat arwah datuk sangat segak orangnya. Berkulit cerah dan tinggi orangnya. Dengan basikal tuanya, arwah membawa saya ke hulu kehilir menjejaki setiap aktivitinya.  Menoreh getah, ke kedai, mencari pucuk nipah untuk di buat rokok daun adalah antara aktiviti yang sangat saya ingati.  Sementara arwah menoreh getah, saya mengutip  biji getah, mengikut arwah pergi kekedai saya mendapat habuan gula-gula atau aiskrim, mencari pucuk nipah untuk dibuat rokok daun saya dapat menikmati buah nipah yang sedap!

    Orang tua zaman dulu kerja berhalus.Sudu untuk kuah dan buat makan berbeza, begitu juga mangkuk kuah dan juga mangkuk untuk 'dessert'. Periuk, kuali juga berasing. Arwah datuk punya pinggan dan sudu sendiri, tak campur-campur dengan yang lain. Kalau boleh satu persatu memori bersama mereka ingin saya rakamkan agar sentiasa kekal dalam ingatan saya. Rumah pusaka ini sekarang diwarisi oleh emak saya sebagai anak yang bongsu. Rumah asal seperti dalam gambar hanya akan kekal dalam ingatan. Rumah lama ini telah di robohkan dan dibina rumah baru, hanya rumah bawah.

    Semua orang pasti punya pengalaman manis semasa kecil. Inilah antara memori terindah saya!

    Pokok temulawak


    Pernah dengar temulawak? Zaman -zaman belajar dulu tau ada krim temulawak je. Jual di Mydin produk Indonesia tak silap saya. Pernah cuba pakai juga zaman-zaman tu dek terjebak dengan kawan-kawan.

    Saya dapat benih temulawak ni semasa bekerja di pejabat YB. Saya bersama beberapa orang sukarelawan di kawasan tersebut menguruskan laman herba untuk DUN tersebut. Laman herba tersebut menghimpunkan hampir 50 jenis pokok herba. Pokok temulawak ni seakan-akan pokok kunyit jika sekali pandang, tetapi ianya lebih tinggi. Ketinggiannya mampu mencapai 1 meter dan berdaun lebar. Di tengah-tengah daun (tulang daun) ada jalur berwarna unggu gelap. Rizomnya yang muda bewarna kuning pudar manakala yang sudah matang berwarna kuning kecoklatan. Saya suka ambil rizomnya yang muda untuk dibuat ulam. Potong nipis-nipis dan di makan dengan nasi putih dan sambal belacan.

    Rizom yang muda berbau harum dan rasanya jugak tidak terpalu pahit. Agak lemak-lemak pahit gitu. Setiap pokok-pokok tanaman saya biasanya saya akan google khasiat atau kegunaannya.  Suka sebenarnya bila mengetahui khasiat-khasiat dari pokok yang di tanam. Termasuk pokok temulawak ini, banyak khasiatnya yang saya tahu melalui carian di internet. 

    Antara khasiatnya

    1. Digunakan sebagai agen pencegah penuaan dan penawar sakit puan - banyak digunakan dalam pembuatan kosmetik
    2. Dapat mengubati penyakit2 seperti reumatoid dan kesakitan otot, demam , batuk, masalah hati, demam kuning, penyakit batu karang dan penyakit kulit.
    3. Dapat menghilangkan kekejangan dan mengelaknya dari berulang
    4. Dapat mengatasi buasir, masalah kerengsaan pada rektum, berak berdarah dan disentri.

    Inspirasi berkebun


    Nampak gambar kebun sayur-yang sayup-sayup tu. Bila balik kampung memang selalu nampak sepasang suami isteri Cina yang dah tua datang membersihkan kebun sayur tu. 
    Naik motor usang.. Baju lusuh suami isteri, tak kekok bermain tanah. 

    Serius masa mula-mula nampak tu memang sangkaan dalam hati Cina kampung biasalah bukan semuanya kaya. Ternyata sangkaan saya meleset. Pasangan Cina tua itu mewarisi legasi perniagaan yang hebat di Parit Jawa Muar. Hampir semua kebun-kebun di kampung dimilikinya. Musim durian baru ni , mak mertua bercerita sehari pendapatan kasar mereka boleh mencecah 20-30 ribu. Durian mahal tu. 

    Deretan kedai-kedai di Pekan Parit Jawa Muar adalah milik keluarga mereka. Berbalik kepada tajuk asal Inspirasi berkebun, hehehe nak ceritanya mereka ni walaupun dah kaya raya harta tak habis makanlah orang kata, tapi masih lagi rajin berkebun. Pukul 7 pagi pasanagan ni dah ada membersihkan kebun mereka. Itulah mereka. Berkebun ini kerana hobi dan salah satu cara untuk execise menjaga kesihatan. Kalau nak kira mampu beli, pasaraya di Parit Jawa tu milik mereka, segala jenis sayur ada di jual. Inilah antara yang menjadi inspirasi saya untuk bercucuk tanam di keliling rumah. Orang kaya pun berkebun macam tu lagikan pulak kita yang tak berapa nak kaya ni.



    Ternak ayam untuk Jualan Raya


    Kami balik kampung semalam. Dengan 100 ekor anak ayam. Boleh bayang meriahnya kereta dengan bunyi anak ayam dan gurau senda anak-anak. Mujur perjalanan 2 jam sahaja.


    Fasa ke 2 , percubaan menternak ayam kampung dan ditargetkan untuk jualan raya nanti. 4 bulan yang lepas kami beli 100 ekor ayam. Dalam proses nak membesar tu banyak juga cabarannya. Hampir 9 ekor dimakan kucing. Sebenarnya kucing tak makan pun anak ayam tu. hanya dicakar-cakar dan di tinggal mati. Bergelimpangan bangkai anak-anak ayam kami tanam.



    Hampir sebulan menternak, ada satu hari suami lupa tutup pintu pagar. 18 ekor mati jadi bangkai digigit dengan anjing pulak. Kira punya kira dalam 60 ekor je yang tinggal sampai besar jadi ayam dewasa. Alhamdulillah merasa ayam kampung tanpa cucuk. Rupanya kaum Cina ni memang penggemar ayam kampung. Tahun Baru Cina baru-baru ni habis diborong ayam kami.



    Anak ayam ni kami beli di Pontian. Seekor RM2.50 lebih murah berbanding tempat lain RM2.80 seekor. Kebiasaannya ayam kampung sedang elok disembelih usia 3 bulan. Masa ni dagingnya lembut dan manis, kalau di buat ayam goreng. pergh.. memang lazat!. Biasanya lebih 4 bulan dagingnya agak liat dan tak sesuai untuk digoreng. Mau patah gigi menggigit dagingnya.



    Alhamdulillah semalam 1 Rejab. Lebih kurang 3 bulan sebelum menyambut Aidilfitri. Target kami dapat memasarkan ayam-ayam ini untuk perayaan Aidilfitri nanti. Ayam kampung tanpa suntik. Kami tak claim ayam organik kerana peringkat awal, anak-anak ayam ini diberi makan dedak jugak. Tetapi saya kira masih terbaik  berbanding ayam bandar yang diternak secara komersial. Ayam kampung biasa di jual dengan harga RM14-15 ringgit sekilo.Seekor ayam kampung dewasa beratnya mampu mencapai ke sekilo setengah hingga ke 2 kilo. Permintaan ayam kampung sebenarnya tinggi lebih-lebih lagi bila masyarakat ada kesedaran tentang isu ayam suntik. 

    Semoga usaha kami ini berhasil. InshaAllah



    Tuesday, 28 March 2017

    Mengaktifkan Yis Liar


    Yis liar atau sourdough starter (sd) adalah pengganti yis komersial untuk menaikkan roti.Sebelum wujudnya yis komersial, inilah cara orang-orang dulu gunakan untuk membuat roti. Sebenarnya saya pun baru belajar-belajar menggunakan SD ni untuk membuat roti. Roti SD ni sebenarnya lebih sihat,mesra perut kerana mudah dicerna dan lebih sedap dari pada roti komersial.
    SD starter ini di hasilkan melalui proses fermentasi atau bahasa melayunya kita panggil peram. Roti yang menggunakan SD biasanya akan rasa masam sedikit.

    Untuk menggunakan SD starter untuk membuat roti atau donut. SD starter ini mestilah betul-betul aktif.  Untuk mengaktifkannya kita kena feed @beri makan. Sd ni tak mintak makan yang bukan-bukan pun hanya tepung unbleach je. Kita fikir macam ni je.. nikan makhluk yang hidup, benda hidup nak aktif kena makan, jadinya memang kena beri makan sampai aktif barulah boleh digunakan.
    Ada cara-caranya nak feed. Nanti saya kongsikan.Tanda ianya betul-betul aktif, kita akan nampak bubble-bubble yang naik. Ha itulah waktu yang sangat sesuai untuk meroti atau mendonut.



    Monday, 27 March 2017

    Pokok Anggur




    Tak ada perasaan nak gambarkan betapa sedihnya..
    Hampir setahun saya menanam pokok anggur ni. BIla menanam memanglah besar cita-citanya, nak memetik anggur dilaman sendiri. Betapa saya sayangkan pokok ni, sanggup merangkak dalam reban arnab mengangkut tahi arnab di buat baja. Alhamdulillah pokoknya subur, lebar-lebar daunnya. Takdir Ilahi tiada siapa yang menduga. 
    Rehat-rehat petang semalam, suami saya mengasah parang panjang miliknya , melihatkan pokok betik yang di tanam hampir mati, saya minta suami saya tebangkan, saya boleh kemaskan batang-batangnya nanti cadangnya.
    Sekali dua tetak dush! Rebah dah pokok betik tersebut.. Sedang suami saya memotong-motong batang betik tersebut, dia tak terlihatkan batang pokok anggur saya yang berselirat di situ. Sekali pancung putus dahan anggur yang paling gemuk dan besar sedang melilit.
    Tak boleh gambar rasa geram yang saya tahan.. hehehe sampai menangis! teruk betul perangai.. 
    Suami rasa bersalah dah sebenarnya.. dan Allah nak ajar saya redha sebenarnya.
    Pokok anggur yang dibelai tiap hari.Dah berangan nak petik anggur di laman sendiri sebenarnya.
    Tapi itulah namanya takdir....
    Sabarlah.. malamnya suami belanja makans ebagai tanda maaf hehehe

    Mengajar anak matematik seawal usia

    Matematik adalah ilmu yang dihidupkan melalui bahasa. Oleh itu, Matematik harus di ajar sebagai bahasa. Apa sahaja yang anak dengar, lihat, cium, rasa, sentuh atau rasa dengan emosi, ianya akan menjadi bahan input untuk diserap. 

    Apa sahaja yang mempunyai rupa, bunyi, rasa, bau dan sentuhanakan memberi anak satu demi satu pemahaman. Banyak interaksi harian yang mempunyai proses dan susunan yang memerlukan mata dan otak anak melihat dan memahami proses, susunan dan bahasa matematik. Contohnya

    Di kala berbelanja
    Waktu kita berbelanja, ramai atau sedikit orang, jauh atau dekat jaraknya, berap banyak beli dan berat barangan yang dibeli.

    Waktu mandi
    Air yang digunakan sejuk atau panas, berapa kali menyiram badan, berapa lama mandi.

    Waktu makan
    Berapa ekor ikan, berapa jenis lauk, bentuk pinggan dan waktu makan samada pagi, petang atau malam.

    Waktu bermain
    Warna-warna permainan, bentuk-bentuk permainan, rasa berat, ringan, keras, lembut kasar dan sebagainya



    Semuanya sebenarnya ada unsur matematik. Anak-anak kita boleh belajar matematik setiap masa dimana sahaja sebenarnya. Kita boleh mengajar anak matematik di saat kita bercakap dengannya samada aktiviti menulis, melukis, berlari, mengajar nama benda atau membuat apa sahaja. Dengan cara ini kita menghidupkan erti matematik di mana-mana sahaja bahkan sejak anak kita masih kecil.

    Oleh sebab matematik adalah bahasa, anak-anak mestilah di perkenalkan dengan nilai mutlak bukannya simbol. Contoh 7 biji guli , kita sediakan 7 biji guli bukan hanya menunjukkan simbol "7" sahaja.

    Kesimpulannya mengajar anak matematik sedari kecil adalah mudah dengan menghidupkan matematik sebagai bahasa bukan hanya kira-kira. Perkenalkan anak kita unsur matematik  dalam benda, situasi harian setiap waktu dan peluang yang ada. Paling penting kita lakukanlah semua ini dengan keceriaan dan menarik.

    Kenangan di Pejabat YBdi Pejabat YB -Kasut anak hilang

    Memories di FB hari ni mengingatkan tentang tulisan saya yang kehilangan kasut anak di Pejabat YB. Hampir 6 tahun berkhidmat di Pejabat YB salah satu peristiwa yang saya tak mungkin lupakan adalah kisah ini. 

    Kisahnya sebuah keluarga ni memang beberapa kali datang ke Pejabat YB meminta bantuan kewangan. Sang suami tidak bekerja dengan alasan puas mencari kerja tak dapat.Baik punya alasan mencari kerja tak dapat. Beberapa orang OKU yang saya kenal gigih bekerja mencari rezeki sedangkan yang sihat wal afiat susah dapat kerja memang tak masuk akal. Si isteri dengan anak-anak kecil seramai 4 orang berumur antara 10 hingga 2 tahun, mana mungkin dapat bekerja. Polisi di Pejabat YB bantuan berbentuk kewangan hanya boleh diberi setahun hanya sekali sahaja pada individu atau keluarga. Ramai yang silap faham sebenarnya bila sebut pejabat YB kebanyakkan akan berfikir boleh dapat bantuan tunai segera.Ala-ala Along gitu

    Ok berbalik kepada cerita si pulan yang meminta bantuan kewangan ni. Kali pertama datang ke Pejabat YB setelah isi borang aduan dan menyatakan alasan kenapa meminta bantuan kewangan, akhirnya YB luluskan jugak sedikit bantuan untuk mereka sekeluarga. Ketika itu anak sulong saya Nublah berusia 2 tahun. Berusia lebih kurang sama dengan anak si pulan tersebut. Ketika itu, anak saya diletakkan di taska berhadapan dengan pejabat YB. Pagi-pagi suami hantar saya pergi kerja dan anak sekali di taska berdekatan. Disebabkan itu, kadang-kadang kasut anak saya saya letakkan di pejabat. Jadi sementara menunggu suami ambil waktu petang, saya bawa anak saya bermain di padang permainan di sebelah pejabat.

    Maklumlah anak sulong perempuan, kasut, pakaiannya saya belikan yang agak berharga jugak. Hari si pulan tersebut datang meminta bantuan kewangan, saya perasan anak bongsunya berkaki ayam. Bermin berlari-lari di dalam ofis sementara ayahnya mengisi borang aduan. Selesai berurusan mereka pun balik. Tak silap saya saya berikan air kotak seorang sekotak anak mereka lebihan daripada program dan pengurus pejabat memberikan bantuan kewangan tapi saya tak ingat jumlahnya.

    Petang tersebut, selepas mengambil anak dari taska, saya mencari -cari kasut anak saya, puas cari di rak kasut, di bawah meja, di pantry dan di dalam dewan tidak di jumpai. Buntu sekejap kepala.. Kehilangan tersebut menjadi misteri.
    Selang beberapa minggu isteri  si pulan yang sama datang ke pejabat meminta bantuan kewangan alasan tak ada duit nak beli beras, saya nyatakan bantuan ehsan hanya boleh diberikn setahun sekali sahaja pada individu atau keluarga. Dalam dia merayu-rayu tu saya terbau asap rokok yang kuat. Rupanya suaminya menunggu di luar sambil menghisap rokok. Sungguh rasa nak marah waktu tu, datang mengadu tak ada duit, tapi mampu merokok lagi. 

    Menambahkan marah di hati bila saya terpandang anak bongsunya berkasut sama sebiji dengan kasut anak saya yang hilang.. Saya tak mampu bersangka baik tapi pendamkan di dalam hati. Setelah puas merayu akhirnya saya aturkan temujanji si pulan tersebut dengan YB pada tarikh yang lain.Si pulan tersebut bersama isteri dan anaknya pun balik dan menunggu saya telefon untuk maklumkan tarikh temujanjinya. Saya pandang kasut anak saya di kaki anaknya sambil berkata dalam hati "daku redha!!"

    Banyak sebenarnya kisah-kisah sebegini. Menjadikan miskin sebagai alasan untuk malas bekerja dan meminta-minta. Bila bertemu kes-kes sebegini, sebenarnya saya hanya terbayangkan nasib anak-anak mereka. Apa akan jadi di masa hadapan. Menjadi miskin tidak berdosa..Malas berusaha hanya meminta-minta itu berdosa.. Mencuri pun berdosa jugak!!! 

    Resepi ubi goreng berempah

    Kami tanam 6 batang pokok ubi kayu di rumah lebih kurang 6 bulan yang lepas. Alhamdulillah nampaknya semua berhasil. Isinya empuk dan sangat sedap. Selain rebus, ubi goreng berempah jugak salah satu kegemaran anak-anak saya. Alhamdulillah setakat ni tak ada yang bermasalah kembung perut makan ubi.

    Saya kongsikan resepinya ubi goreng kegemaran kami sekeluarga



    Bahan-bahannya 
    Ubi kayu dikopek kulit dan dibasuh bersih
    Ketumbar
    Jintan manis
    Bawang putih
    Kunyit Hidup.
    Garam secukup rasa

    Cara-caranaya
    Basuh dan toskan jintan manis dan ketumbar. Tumbuk bersama kunyit dan bawang putih sehingga lumat. Masukkan garam dan tumbuk sekali. Gaulkan bersama ubi kayu dan ratakan. Biarkan dalam 10-15 minit agar bahan empah mesra dengan ubi kayu


    Lepas 15 minit, taburkan sedikit tepung beras dan gaulkan rata. Ini bertujuan rempah-rempah tersebut melekat di ubi semasa menggoreng. Goreng dengan api sederhana dan minyak yang banyak. Bila nampak dah kuning dan garing, angkat, toskan minyak dan sedia untuk dimakan. Sedap di makan dengan sambal kicap sebenarnya. Tapi kicap pun tak ada.. makan macam tu pun dah sedap!!


    Saya pun tak pasti

    Pengantin sedang makan berdamai masa kami sampai. Pengantin perempuan memakai persalinan unggu sepasang dengan  pengantin lelaki berbaju melayu. Majlis sederhana tetapi meriah.Ada tetamu yang datang dan ada yang beransur balik sambil salam 'keruk' wakil keluarga pengantin.Selepas menjamu selera dan bersalam dengan wakil pengantin kami pulang ke rumah.Di rumah, teringan mulut bertanya suami

    "Mana isteri kawan awak tu? Saya salam dengan anak perempuan dia je tadi"

    "Pakcik tu duda, anak tiga semua dia yang jaga" jawab suami.

    "Oh ye ke..Lama dah ke isteri dia meninggal? Pandai dia jaga anak-anak."Sambung saya memuji ..

    "Pandai je kata isteri dia meninggal.Diorang bercerai hiduplah rasanya dah dekat 8 tahun" Sambung suami lagi

    Saya mencongak dalam hati kalau 8 tahun umur pakcik tu katalah dalam 50 tahun.. 

    "Ish maksudnya mereka bercerai dah tualahkan?" Saya mengagak

    "Iye, mereka bercerai dah tua. Masing-masing tak kahwin lain pun. Hidup sendiri bawak haluan masing-masing"

    Allahu.. saya terdetik dalam hati.. Tiba-tiba sibuk memikir apa masalahnya ye.. dah tua-tua bercerai.. masing-masing tak kahwin lain pulak tu. Masalah kewangan ke, memang dah tak sayang ke. Entah berat pulak rasa nak fikir.

    Mungkin mata kasar kita nampak bahagia dengan perkahwinan, ada suami ada anak-anak, itu pandangan saya yang tak sampai 10 tahun pun lagi usia perkahwinan. Ada hikmah dalam setiap penceraian yang mungkin kita tak tahu. Berdua lebih baik,  tapi dalam situasi diatas mungkin mereka merasakan sendiri lebih baik. Bagaimana sayang dan cinta pun kita pada pasangan kita yang memegang hati mereka adalah Allah. Allah jua yang boleh membolak balikkan hati kita.

    Penceraian itu perit, samada bercerai hidup atau bercerai mati tapi mungkin satu kebahagiaan bagi sesetengah orang.

    Entah!! Saya pun tak pasti.

    Resepi ayam ungkep

    Ayam masak ungkep adalah resepi Jawa. Pada awalnya saya juga tidak pandai dan tidak pernah tahu resepi masak ungkep. Bila balik kampung suami dan makan masak ungkep ni barulah tahu  bagaimana memasaknya. Masak ungkep ni boleh juga di panggil ayam masak rempah kerana menggunakan jintan putih, jintan manis dan biji ketumbar yang banyak sebagai bahan utama.

    Ayam masak ungkep sedap dimakan bersama nasi, pulut kuning atau apa sahaja yang dirasakan sesuai. Biasanya ayam kampung atau ayam pencen yang sesuai dibuat masak ungkep kerana dagingnya yang sedikit liat dan tidak mudah hancur.

    Saya kongsikan resepi ayam masak ungkep cara saya untuk sesekor ayam kampung.




    Bahan-bahan yang diperlukan  untuk masak seekor ayam
    2 sudu besar Ketumbar dibasuh dan toskan
    1 sudu besar Jintan putih dibasuh dan toskan
    1 sudu besar Jintan manis dibasuh dan toskan
    Halia dan kunyit sebesar ibu jari
    10 biji bawang merah
    2 batang serai di ketuk
    10 biji cili padi (kalau suka pedas boleh lebihkan lagi)
    2 keping asam keping
    Gula melaka @ gula pasir
    Secawan santan pekat
    3 cawan air
    Garam secukupnya

    Caranya blander sehingga hancur semua bahan diatas kecuali serai, asam keping, gula melaka dan santan. Masukkan ayam yang telah dibasuh bersih ke dalam kuali. bersama 3 cawan air dan bumbu yang telah di kisar tadi dan juga serai yang telah diketuk. Pastikan ayam betul-betul tenggelam. Masak hingga kuah memekat. Gunakan api sederhana. Apabila kuah hampir kering masukkan asam keping dan santan pekat. perasakan dengan garam dan gula melaka. 

    Siap sedia untuk dihidangkan.

    *Gambar siap masak tak sempat nak ambil.. Anak-anak balik sekolah kelaparan

    Gurindam Anak


    Bersabarlah Ummi
    Bila Udin dah besar sikit nanti
    Nisrina pulak yang ganti
    Ini semua tak lama Ummi
    Boleh saja Ummi beri gadjet sebagai ganti
    Tapi apa hasilnya nanti
    Apa yang Ummi harapkan dari kami yang sekecil ini?
    Duduk diam, rumah sepi, kemas berseri?
    Membesarkan ikut naluri atau suka hatilah apa nak jadi?

    Ingatlah Ummi
    Kami ini anugerah Ilahi
    Apa jua hasilnya nanti
    Cermin asuhan Abi dan Ummi

    Sabar!Sabar!Sabar!
    Jangan berhenti memberi
    Corakkan kami
    Kami sedang belajar, memerhatidan meniru sekeliling kami
    Baik, baik sahaja ye Ummi!


    Ummunublah 26/03/2017

    Sunday, 26 March 2017

    Pokok Rosemary


    Pokok rosemary adalah antara pokok herba yang menjadi kegemaran saya kerana salah satu kegunaannya yang mampu menguatkan memori. Maklumlah menjadi mak-mak ni daya ingatan sangatlah lemah, macam-macam lupa hehehe. Saya suka petik beberapa helai daunnya dan ramas-ramas dah sedut baunya dalam-dalam.


    Pokok rosemary ni dibelikan oleh mak mertua saya semasa beliau ke Cameron Highland tahun lepas. Pokoknya agak gemuk dan subur pada mulanya, sejak saya mengandungkan anak ke empat, semua pokok-pokok herba tanaman saya mati dan terbiar. Nampaknya Rosemary antara pokok Herba yang senang di jaga dan masih hidup hingga ke hari ni walaupun kurang di jaga. Sweet basil, thyme, oregano, lemon oregano antara tumbuhan herba saya yang sudah  mati disebabkan tidak terjaga.



    Banyak khasiat pokok rosemary ni hasil dari pembacaan saya, tetapi ianya tidak sesuai digunakan untuk ibu yang hamil dan merancang untuk hamil.



    Saya kongsikan  disini khasiat pokok rosemary dari blog http://petua.whatta.org/ , semoga bermanfaat.


    Kajian menunjukkan rosmari bersifat antibakteriaantikulat, antioksida, antitumor, menimbulkan hiperglisemia, menghalang pembebasan insulin, dan racun serangga. Ia bersifat racun jika digunakan secara berlebihan. Ia tidak sesuai kepada wanita hamil atau yang ingin hamil. Dos yang sangat tinggi boleh menyebabkan sawan dan kematian, tetapi jarang-jarang berlaku. Timol bersifat antiseptikmenurunkan tekanan darah dan kadar degupan jantung, digunakan dalam farmasi dan ubat gigi tetapi boleh juga menyebabkan dermatitis kalau digunakan dalam cara pekat pada kulit yang sensitif.[2]
    Rosemary boleh meningkatkan daya ingatan, melegakan sakit otot, dan merangsang sistem saraf. Ia digunakan untuk masalah penghadaman, masalah peredaran darah, sakit, saraf, kekejanganlukaekzema,penyakit sendidan kemurungan. Sebagai herba antispasmodic, ia digunakan untuk meningkatkan pengeluaran air kencing. Satu lagi fakta mengenai rosemary adalah yang digunakan dalam kombinasi dengan St John Wort dan ginkgo biloba, ia boleh memperbaiki gangguan yang berkaitan dengan keradanganotak.
    Selain menenangkan saraf, rosemary melegakan otot, memudahkan kesakitan, dan mengurangkanketegangan dan kebimbangan di seluruh tubuh. Oleh itu, ia telah menjadi sangat membantu dalam merawatsakit kepala, migrain yang disebabkan oleh tekanan, kemurungan, keletihan saraf dan tidak peduli. Sebagai perangsang peredaran darah dan saraf, rosemary mengaktifkan aliran jus penghadaman.
    Walaupun secara tradisinya rosemary telah digunakan oleh pakar herba untuk meningkatkan daya ingatan, ia juga membantu dalam merawat sakit kepala dan peredaran miskin, dan merangkumi perangsangberkesan menghasilkan fungsi ingatan meningkat. Komponen-komponen dalam rosemary meningkatkanaliran darah yang lebih kukuh. Ia bukan sahaja meningkatkan fungsi otak, seperti yang dinyatakan sebelum ini, tetapi juga telah digunakan untuk merawat gangguan dicirikan oleh kelemahan peredaran darah seperti: tekanan darah tinggi dan rendah; vena varikoslebamdan keseleo.
    Rosemary dikatakan melawan sel-sel tidak baik dan telah menunjukkan antikanser dan anti-tumor. Oleh kerana ia mempunyai antioksidan yang kuat, ia boleh mencegah kanser yang menyebabkan bahan kimiayang menyerang sel-sel, terutamanya dalam hati dan kawasan bronkialDigambarkan sebagai cukup kuatuntuk membunuh jangkitan bakteria, ia perlu dinyatakan ia tidak boleh sama sekali membuang bakteria darisaluran penghadaman. Walau bagaimanapun, rosemary telah terbukti untuk merawat sindrom kejutantoksik.

    Resepi kuih bom


    Dalam perjalanan balik dari rumah bapa saudara di Felda Sening, kami singgah beli ubi keledek, ubi kayu dan kelapa. Sepanjang perjalanan dari Kota Tinggi ke Kulai banyak boleh di lihat gerai-gerai yang menjual hasil-hasil tanaman seperti itu. Alhamdulillah setakat yang kami beli biasanya harga sangat berpatutuan dan bahan jualannya semua masih dalam keadaan segar dan elok. Oleh kerana anak kecil saya sedang menyusu, hanya suami saya yang turun membeli. Bila sampai rumah sekali tengok 5 biji kelapa di beli suami. Bukan kelapa tua, tetapi kelapa basah. Kelapa sudah tua tetapi masih belum bersantan. Sayangkan kelapa tersebut takut rosak, saya buatkan inti kelapa.

    Dapat satu bekas besar dan oleh kerana saya buat tidak berapa manis, inti kelapa tersebut tidak akan bertahan lama. Lempeng sudah, pau sudah,roti kelapa sudah apa lagi saya nak buat dengan inti tersebut. Lalu terlintas di fikiran membuat kuih bom. Selongkar bahan-bahan di dapur semuanya cukup. Maka terhasillah kuih bom sebagai menu minum petang kami.

    Membuat kuih bom ni tak sesukar mana pun. Dan bahan yang tidak banyak. Teringat zaman-zaman masih bekerja di KUala Lumpur dulu. Bila bulan Ramadan teringin makan kuih bom, beli di pasar ramadan, rasanya sangatlah mengecewakan.  Alhamdulillah ada peluang buat sendiri sekarang. 

    Bahan-bahan untuk inti
    Kelapa parut
    Gula melaka di racik-racik
    Air
    Daun pandan

    Cara-caranya 
    Masukkan air ke dalam periuk bersama gula melaka yang telah di racik, masukkan juga daun pandan yang telah di simpul. Setelah gula hancur dan air gula hampir pekat, masukkan kelapa parut. Kacau sehingga kering. Biasa orang buat akan letak gula pasir sedikit untuk tambah manis. Saya kurangkan manis untuk sesuaikan dengan menu anak-anak. Tapi biasanya kalau kurang gula. Inti tidak tahan lama. Jadinya kena di habiskan segera.

    Bahan-bahan untuk kulit
    2 cawan tepung pulut
    Air 
    Sedikit garam
    Bijan secukupnya 

    Cara-caranya
    Bancuh garam dengan air. Masukkan tepung ke dalam bekas. Masukkan air sedikit demi sedikit hingga tepung tidak melekat di tangan. Ambil tepung yang telah di bancuh tadi leperkan di atas tangan, letakkan inti yang telah dibulat-bulatkan. Bulatkan kembali dan golek-golekkan atas bijan hingga meliputi semua bahagian kuih.

    Panaskan minyak.. goreng kuih  dengan api sederhana. Pastikan kuih betul-betul tenggelam. Jangan terlalu lama di khuatiri akan meletup. Agak-agak agak perang bolehlah diangkat dan hidangkan.

    Alhamdulillah setakat yang saya buat, tiada lagi kejadian meletup di dalam kuali.
    Semoga bermanfaat. 






    Ikhitar ubati batuk dengan cuban oregano



    Bangun bangun atau cuban oregano adalah pokok yang sama. Pokok yang mudah hidup dan senang ditanam. Semudah cucuk ke tanah dan hidup. Tapi jangan lupa siram. Pokok cuban oregano ni digunakan sebagai ubat batuk dan sakit asma dan lebih sinonim dengan perubatan Ayurverda

    Alhamdulillah setakat saya gunakan memang mujarab untuk melegakan batuk. Caranya ambil 5 ke 7 helai daun cuban erogano, basuh bersih dan carik-carikkan. Ambil secawan air panas, rendamkan daun yang telah dicarik tersebut dalam 15 ke 20 minit. 

    Oleh kerana daun ini agak kuat baunya, saya biasanya perahkan sedikit lemon dan tambahkan sesudu madu.Sakit-sakit, tekak nak rasa sedap jugak. Hehehe

    Untuk asma, saya ramas-ramaskan dan sapukan ke dada. Anak saya yang ke tiga memang ada asma. Memang ini salah satu ikhtiar saya. Tetapi jika berlarutan 2-3 asama tidak berkurang biasanya saya akan bawa ke klinik jugak untuk diagnos lebih detail.

    Menanam Bayam


    Alhamdulillah.. Setelah lama tak menamam.. Mari mulakan semula. Sebenarnya saya  semai bayam, pak choi dan kailan. Tapi nampaknya bayam je yang hidup tanpa banyak belaian. Maklumlah tanam tinggal. 

    Bayam antara jenis sayuran yang mudah ditanam. Perlukan tanah yang gembur dengan pengaliran yang baik dan matahari yang mencukupi. Tempoh tuaian antara 20 ke 25 hari. Jika lebih dari itu, biasanya pokok  bayam akan tu dan berbunga. Jika bercadang nak buat benih, bolehlah tuakan sebatang hingga berbunga.  Bercucuk tanam selain boleh dijadikan hobi, ianya juga sebagai langkah berjkimat belanja dapur. Biasanya jika tanam sendiri pastinya lebih organik dan sihat kerana tidak menggunakan sebarang baja kimia atau semburan racun serangga. Untuk baja gemuk biasa saya hanya gunakan tahi arnab dan air basuhan beras atau air basuhan ikan sahaja. 

    Sekarang hendak turun ke tanah kena tengok mood Nisrinadulu. Maklumlah bayi baru 4 bulan memang menuntut perhatian yang lebih. Kalau tidur lama waktu pagi oklah.. Kalau nak berkepit je.. Nak masak pun huru hara.

    Tetapi oleh kerana berkebun ni memang jadi hobi saya sekarang.. Walaupun sekejap jadilah buat terapi saya.



    Saturday, 25 March 2017

    Pokok Peppermint


    Rupa-rupanya banyak jenis pokok mint ni.  Biasa kita kenal yang satu jenis je yang biasa kita panggil pokok pudina. Kebiasaan orang melayu menggunakan daun pudina untuk di letakkan dalam teh atau ppun di buat ulam.  Tak susah jugak sebenarnya nak tanam dan jaga pokok ni. Sekali tanam  tumbuh dan membiak sampai tak tahu nak buat apa. Sayalah tu !

    Ada beberapa jenis yang saya kenal dan pernah tanam iaitu pudina biasa yang dijual di pasar-pasar, applemint, spearmint, peppermint . Pokok peppermint jenis tumbuhan berbatang lembut dan berwarna gelap. Jika ada sesiapa yang ingin cuba menanam, ini cara saya, saya beli di bahagian fresh herbs aeon dan cucukkan ke tanah yang gembur. Alhamdulillah setakat ni memang tumbuh.

    Saya biasa letakkan daun peppermint ni di dalam air teh.. Sangat nyaman bila diminum suam. Boleh juga di kunyah-kunyah untuk menyegarkan mulut. Mulut akan rasa berangin kesandari menthol yang ada dalam daun peppermint ni. Anak saya biasa akan petik 2-3 helai dan kunyah-kunyah kerana sukakan bau dan sensasai berangin di dalam mulut.

    Cendol sedap di Muar


    Saya jarang-jarang makan cendol sebenarnya, tetapi sesekali teringin saya akan ke gerai ini untuk menikmatinya. Cendol legend di Muar.Sejak saya kecil beuumur sekitar 6 tahun hingga sekarang perniagaan cendol ini masih ada.
    Apa yang istimewanya, pembuatannya masih menggunaka kaedah lama memarut ais. Santan asli dan air gula melaka yang enak. Ramai yang tidak perasan kewujudan gerai cendol ini kerana terletak di celah bangunan. Lokasinya di Jalan Sisi Muar. Uniknya walaupun berniaga di lorong celah bangunan. Peniaga ini ada sumber air sendiri. Boleh ada sinki untuk membasuh pinggan dan tempat simpan barang.

    Peniaga cendol ni India Muslim, memang keluarga saya kenal kerana dahulunya gerai cendol ini terletak di sebelah kedai kain ela yang mana saban minggu menjadi tempat kunjungan arwah nenek saya. Arwah nenek menjual kain pasang. Setiap kali ke kedai kain, kami akan singgah makan cendol di sini.

    Sesiapa berkunjung ke Muar bolehlah mencuba cendol ni. Hanya RM1.50 semangkuk dan RM2.00 untuk cendol pulut dan cendol kacang merah

    Selamat Tahun Baru 2020

    Dah masuk minggu ke 3 Januari 2020, baru hari ni tiba-tiba datang semangat dan keinginan nak menulis semula. Awal menulis di blog ini dulu t...