Petang semalam saya dan suami ke TESCO Kulai. Dengan tujuan membelikan kasut untuk Nisrina. Dah hampir 2 minggu Nisrina boleh berjalan diusia 9 bulan dan kami masih belum membelikan dia sepasang kasut.
Masa Nublah, anak sulong kami dulu, baru umur 6 bulan dah dibelikan kasut. Bukan kasut murah-murah pulak tu. Itu zaman saya masih bekerja, pegang duit gaji sendiri. Ditambah dengan keterujaan dapat anak sulong, perempuan pulak tu.
Anak bertambah seiring dengn pertambahan usia, keterujaan dari segi material untuk anak-anak sudah berkurang. Hinggakan anak dah pandai berjalan pun masih tak dibelikan kasut. Akhirnya semalam saya belikan sepasang kasut. Kasut murah je, RM15.90 sepasang.
Lepas pilih-pilih kasut, saya bergerak ke kaunter untuk membuat bayaran. Oleh kerana saya beli satu item sahaja, saya menggunakan kaunter ekspress. Depan saya seorang aunty Cina bersama cucu saya kira. Berambut kerinting halus tetapi mengerbang, bertubuh gempal dan sedikit bongkok.
Di tangan aunty tersebut hanya ada seikat sayur yang harganya tidak lebih daripada Rm5.00. Cucu yang dibawanya merengek-rengek minta dibelikan sebiji bola. Ada bola sebiji di tepi kaunter. Mungkin ada yang tidak jadi beli dan meletakkannya di tepi kaunter tersebut.
"Tak maulah!, tak maulah!, Mahal." Kata aunty tersebut kepada cucunya.
Cucunya dalam lingkungan 4 tahun. Putih comel, bermata sepet. Rambutnya panjang dan lurus diikat kemas kiri dan kanan. Masih merengek-rengek sambil tangannya menunjuk ke arah bola yang terletak di tepi kaunter pembayaran.
Saya kagum seketika bila mendengar aunty tersebut berbahasa Melayu dengan cucunya. Sedangkan cucunya merengek-rengek dalam bahasa Cina.
"Ada harga tak bola tu? Berapa harga?' Soal Aunty Cina tersebut kepada saya.
"Tak ada hargalah Aunty, mungkin itu sebab orang letak tepi je ni. Kalau nak beli kena ambil yang ada harga."
"Cucu saya ni ha, suka bola, tapi dia perempuan. Suka nangis-nangis minta sama saya. Saya tak ada duit ho.." Panjang lebar aunty tersebut bercerita pada saya.
Saya yang dengar naik kesian pulak ke aunty tersebut bila dia kata tak ada duit. Kalau dekat tempat permainan tu, mahu saja saya ambil bola lain dan belikan bola untuk cucunya.
Selesai dia membayar harga seikat sayur yang dibeli. Datang anak perempuan aunty tersebut sambil menyorong troli yang penuh dengan barang-barang.
Salah telahan saya yang menyangka aunty Cina tersebut seorang yang miskin. Bila melihatkan gaya pemakaian anaknya dan troli yang penuh dengan barang-barang yang dibelinya.
Itulah hidup kita ni. Banyak bersangka-sangka. Tak semua sangkaan kita betul. Apa yang kita nampak kadang-kadang bukan gambaran sebenar kehidupan individu tersebut.
Selesai membayar kasut Nisrina, saya turun ke bawah mencari suami dan anak-anak. Nampak mereka sedang duduk di Food Court. Sangkaan saya suami nak belanja minum petang di situ. Rupanya duduk-duduk sambil sembang melepaskan lelah dan akhirnya balik ke rumah.
Itulah! Hidup bersangka-sangka lagi.
#ummimenulis
No comments:
Post a Comment