Friday, 14 July 2017

Raya di Air Tawar 2

Ziarah ke rumah bapa sedara di Felda Air Tawar 2. Walaupun baru beberapa kali berjumpa, asbab pertama mencarinya dulu adalah kerana sebagai wali pernikahan saya. Kisahnya setelah arwah ayah berpisah dengan emak ketika saya berusia 2 tahun dan adik berusia setahun, saya dijaga oleh emak. Kemudiannya arwah ayah kandung meninggal semasa saya berusia 7 tahun. Saya langsung tak mengenali keluarga di sebelah arwah ayah. Berpisah hidup kemudian meninggal semakin menjarakkan saya dengan keluarga sebelah arwah ayah.

Bila sampai jodoh saya, wali semestinya daripada keluarga sebelah arwah ayah. Disebabkan datuk sebelah arwah ayah juga sudah meninggal, jatuh tanggungjawab kepada adik beradik arwah ayah saya untuk menjadi wali saya. Alhamdulillah beberapa bulan sebelum kahwin, saya dan bakal suami ketika itu bersama emak dan bakal emak mertua menjejak bapa saudara saya yang paling tua di Felda Air Tawar 2. Alhamdulillah sejak dari pernikahan saya menjadi asbab saya kembali menjalinkan semula tali silaturahim yang sekian lama renggang bersama keluarga sebelah arwah ayah. Meskipun agak kekok pada awalnya kemesraan kian terjalin sedikit demi sedikit.

Arwah ayah mempunyai 9 beradik 3 lelaki dan 6 perempuan. Bayangkan berapa kekoknya saya nak beramah mesra dan bercakap bersama emak dan bapa sedara yang seumur hidup saya tidak pernah saya kenal. Air dicincang tak akan putus, benarlah kata pepatah tersebut, buruk baik kedua-dua belah pihak adalah darah daging saya yang mana mengalir darah di dalam badan saya ini dari keturunan mereka.  Hikmah saya berpindah di Johor ini salah satunya saya dapat menjejaki semula keluarga di sebelah arwah ayah. Jika dulu emak dan keluarga sebelah ayah bermasam muka kerana penceraian, kini setelah semuanya di mamah usia, tiada apa yang perlu di ingat lagi.Biarlah segala yang buruk dan dan yang lepas menjadi lipatan sejarah. Boleh dikenang sebagai iktibar dan pengajaran kepada saya dan semua yang tahu. 

Menjadi anak mangsa penceraian sebenarnya kita akan membesar dalam hidup suasana yang penuh persoalan. Bila penceraian tersebut pula menjarakkan perhubungan keluarga kita akan rasa kekurangan. Bila melihatkan anak perempuan saya yang sulong berusia 6 tahun bermanja dengan suami dan rapat dengan suami saya bersyukur atas nikmat berkeluarga yang dikurniakan Allah kepada saya. Sungguh bila mengenangkan apa yang saya lalui semasa kecil, saya sebak. Biarpun saya berbapa tiri yang menjaga saya dan adik dengan baik. Saya rindukan sentuhan kasih sayang seorang bapa yang  boleh menidurkan saya, mengajar saya mengaji, menasihati saya tentang pelajaran dan sesekali belikan saya permainan. Alhamdulillah anak-anak saya dapat nikmat ini.

Bila sudah berkeluarga dan mempunyai anak sendiri, sebolehnya anak-anak menjadi keutamaan saya supaya tidak rasa kurang kasih sayang dan bimbingan saya dan suami sebagai ibu bapa.

Bapa saudara saya ni seorang peneroka felda. Sangat mesra dan menerima baik kunjungan kami anak beranak. Dapatlah anak-anak menumpang kasih seorang atuk. Anak-anak ketiadaan atuk dibelah saya dan juga suami jadinya menumpanglah kasih datuk sedara. Rasanya tidak pernah kami balik dari rumah bapa saudara saya ni dengan tangan kosong, sepanjang saya berziarah ke rumahnya. Sentiasa ada sesuatu sebagai buah tangan untuk kami bawa pulang. Mereke benar-benar meraikan kami sebagai tetamu mereka. Alhamdulillah.

Dalam hidup ini bukan semua perkara kita ada pilihan, termasuklah siapa yang akan menjadi ibu dan bapa kita. Walau apapun kisah mereka hingga berlakunya penceraian, kita sebagai anak wajib menyayangi dan mengasihi mereka. Doa dan rindu saya kekal untuk arwah ayah walaupun tak berpeluang merasa kasih sayangnya.



No comments:

Post a Comment

Selamat Tahun Baru 2020

Dah masuk minggu ke 3 Januari 2020, baru hari ni tiba-tiba datang semangat dan keinginan nak menulis semula. Awal menulis di blog ini dulu t...