Hampir seminggu bercuti raya. Alhamdulillah kembali ke rutin biasa seorang surirumah. Mengemas baju yang di bawa pulang dari kampung je mengambil masa 2 hari. Sangat pek dengan aktiviti ziarah dan menerima tetamu daripada hari raya pertama hingga ke 6. Hari Raya ke 7 suami sudah mula bekerja.
Kesempatan berziarah mengikut orang tua adalah satu peluang untuk saya dan suami mengenal dan mengetahui asal usul keluarga. Mungkin bila dah tak ada umur oran tua semua ini akan tinggal kenangan untuk kami. Bila mak saya ajak berziarah sepupu-sepupunya di Umbai. Saya tahu emak mesti teringatkan zaman kecil, zaman semasa dia dibesarkan, tempat dia bermain, tempat dia menghabiskan zaman kanak-kanaknya.
Arwah atuk dan nenek saya asal Melaka. Ada masa saya akan korek cerita daripada mak tentang cerita asal usul keturunan kami. Bukan untuk berbangga tetapi sekadar mengenal salasilah dan asal usul. Rasanya dari cerita-cerita arwah nenek dulu, arwah atuk asal orang Padang Temu, arwah nenek orang Umbai. Arwah atuk anak tunggal dan macam pernah dengar ceritanya arwah atuk anak Cina anak angkat Melayu sementara nenek berketurunan Arab. Hasil perkongsia hidup mereka, dikurniakan 8 anak, arwah Pak Long, Mak Ngah, Mak Uda, Arwah Pak Andak, Arwah Pak Itam, Arwah Pak Utih, Cik dan mak yang bongsu di panggil Busu oleh anak buahnya. 4 daripadanya yang semuanya lelaki telah di jemput pulang.
Arwah atuk merantau sampai ke Muar, masa tu keluarga arwah nenek memang dah duduk di Muar, arwah atuk bekerja buat kebun dengan keluaga arwah nenek dan akhirnya mereka di jodohkan. Dalam ramai-ramai adik beradik emak, emaklah yang paling kenal sedara mara di Melaka ni. Maklumlah anak bongsu dan masih duduk di kampung, jadi semuasedara-mara yang sesekali datang masih kenal.
Setahun sekali mak berjumpa sepupu-sepupu banyak yang di ceritakan. Si polan tu dah sakit, si polan tu dan meninggal. Saya hanya mendengar sembang mereka dan tak kenal pun siapa yang disebut.
Masing-masing punya kisah dan cerita sendiri. Kalau zaman kita yang ada fb, whatsapp dan medium komunikasi yang mudah, semua cerita dan maklumat di hujung jari. Tapi bagi warga emas seperti emak, ziarah setahun sekali, sembang mesra walaupun sekejap, berjabat tangan melerai rindu adalah lebih bermakna lebih-lebih lagi di hari raya.
Sembang-sembang orang tua, saya yang muda pasang telinga juga, ada terselit nasihat, doa dan harapan melihatkan kehadiran kami.
Semoga ada umur untuk saya mengekalkan silaturahim ini. Walaupun hubungan kekeluargaan sudah semakin jauh. Tetapi mengenal asal usul itu adalah salah satu nikmat.

No comments:
Post a Comment