Mencari Idola ? Cukuplah Rasulullah SAW sebagai contoh tauladan yang terbaik untuk diri kita dan keluarga.
Saya baca Buku "Senyum dan Tangis Rasulullah SAW". Hadiah seorang sahabat kepada saya tahun 2009 yang lalu. Saya tak pernah baca tapi cukup sayang kerana buku sememangnya hadiah yang amat saya hargai.
Semalam tergerak membacanya kerana melihatkan deretan buku-buku yang tersusun kemas, rasa bersalah tak menyentuhnya.
Rasulullah manusia sempurna yang mempunyai perasaan mendalam dari segi kasih sayang. Mengalami rasa sedih hingga mengalirkan air mata tetapi juga boleh berjenaka.
Bagaimana sifat Rasulullah dengan isteri-isterinya? Bagaimana pula sikap Rasulullah SAW dengan anak - anak dan cucu-cucu baginda?
Banyak kisah-kisah yang menunjukkan penyayangnya Rasulullah. Berlemah- lembut dengan semua termasuk musuh. Sikapnya penuh hikmah. Saya baru baca bab pertama tettapi amat terkesan dengan sifat-sifat penyayang Rasulullah ini. Kadang-kadang bukan kita tidak tahu. Berdamai dengan diri dan cubalah praktikkan untuk diri sendiri dan keluarga. Seterusnya skop yang lebih besar bersama masyarakat.
Antara contoh sifat penyayang dan kecintaan Rasulullah kepada ahli keluarganya yang diceritakan adalah Rasulullah pernah makan dan minum dalam bekas yang sama dengan isterinya Saidatina Aisyah. Perkara nampak simple tetapi itu tanda kasih dan cinta suami isteri. Betul tak?
Ada satu kisah yang dicatatkan dalam buku ini sewaktu menonton akrobatik dari Habsah. Maklumat lanjut akrobatik ini tidak pula di nyatakan. Saidatina Aisyah meletakkan dagu beliau di atas bahu Rasulullah. malah baginda bertanyakan kepada Aisayah berulang kali adakah Aisyah berpuas hati dengan pertunjukkan tersebut. Komunikasi itu penting, itu yang Rasulullah amalkan bersama keluarga. Walau macamana sempurnapun secara zahir keperluan keluarga, komunikasi dan sentuhan itu penting sebagai cara mententeramkan jiwa dan melayakkan diri rasa di hormati.
Dicatatkan juga kisah Rasulullah membelai dan mencium penuh kasih sayang anaknya Ibrahim sewaktu Ibrahim diletakkan di atas rumah seorang tukang besi waktu dalam tempoh penyusuannya. Walaupun jauh, Rasulullah tetap berkunjung dan duduk di sisi bayi tersebut meskipun tempat tersebut di penuhi asap. Cinta dan kasih seorang ayah, meskipun seorang pemimpin masyarakat, Rasulullah memenuhi tuntutan cinta seorang anak dan menunjukkan contoh kepada umatnya, kasih-sayang itu sememangnya fitrah manusia yang tidak boleh dinafikan. Lebih-lebih lagi anak-anak kecil yang sememangnya perlu perhatian ibu dan ayah.
Hassan dan Hussain adalah cucu kesayangan Rasulullah dan anak kepada Fatimah. Kasih sayang Rasulullah tergambar bila mana baginda menjadikan diri baginda sebagai kuda tunggangan untuk cucu-cucu baginda. Hassan dan Hussain juga sering diletakkan di bahu tanda meraikan sifat kanak-kanak mereka.
"Seseorang yang tidak mempunyai kasih sayang kepada orang lain, maka dia tidak layak mengharap kasih sayang orang lain terhadap dirinya"
Itu jawapan Rasulullah kepada persoalan mereka yang berasa hairan melihat perbuatan Rasulullah SAW mencium cucu-cucu baginda.
Jika kita mengharapkan kasih sayang anak dan keluarga kepada kita apabila sudah tua nanti, pamerkan dan berikan kasih sayang kita seikhlasnya kepada keluarga. Anak-anak juga akan meniru cara kita sebagai ibu bapa kelak apabila mereka sudah dewasa nanti dan mendidik zuriat mereka.
Inilah kasih sayang Rasulullah seorang suami, bapa dan datuk yang mulia. Tidak segan mencium dan menunjukkan kasih sayang kepada keluarganya. Itulah juga yang diajarkannya kepada seluruh manusia.
Jom cium dan peluk ahli keluarga kita.
No comments:
Post a Comment