Monday, 21 August 2017

Memudahkan Urusan Mendidik Anak bersolat.

Sejauh manakah kita meletakkan keutamaan mengajar anak bersolat? Adakah kita perlu menjadi ustaz atau ustazah baru melayakkan kita mengajar anak bersolat?

Kewajipan menunaikan solat adalah perintah daripada Allah dan banyak ditegaskan di dalam Al Quan. Tidak perlu menjadi ustaz atau ustazah untuk melayakkan kita mengajar anak bersolat. Tiang agama ini perlu di pasakkan didalam diri anak kita sebagai asas. Kita sebagai ibu bapa tidak kira apapun latarbelakang pendidikan kita perlu meletakkan solat sebagai benteng utama sebelum lebih mengenal dunia.

Beberapa perkara utama yang boleh dijadikan panduan dalam memudahkan urusan mendidik anak bersolat. Tips dan panduan ini saya petik dari buku Mudahnya Ajar Anak Solat keluaran Telaga Biru Tulisan Che Amran  (Kumpulan Raihan) berkolaborasi bersama isteri beliau Isyah Radiah Idris. Mereka berkongsi pengalaman bagaimana mengajar anak bersolat berdasarkan pengalaman sendiri dengan anak mereka seramai 9 orang.

Perkara Asas yang ditekankan adalah seawal memilih pasangan. Berdasarkan panduan yang disebutkan Rasulullah

"Dinikahi wanita itu kerana empat sebab; Kecantikannya, keturunannya, hartanya dan agamanya, maka utamakanlah yang beragama, engkau akan beruntung. (Riwayat Bukhari)

Ingin melahirkan zuriat yang baik bermula daripada pemilihan pasangan yang baik. Keberkahan akan mengalir kepada zuriat yang dilahirkan. Jika pasangan kita sendiri culas menunaikan solat. Bagaimana mungkin anak-anak dapat didik dengan sempurna untuk memahami kepentingan solat.

Sebagai ibu-bapa, pastikan kita mempunyai matlamat yang jelas dalam membesarkan anak-anak. Matlamat utama yang perlu dipasakkan dalam hati kita adalah melahirkan anak-anak yang taat perintah Allah.  Anak-anak adalah saham kepada ibu bapa di akhirat nanti. Semestinya matlamat didikan dan cara didikan kita kepada anak di dunia ini adalah didikan yang melayakkan anak-anak untuk masuk ke syurga Allah. Apalah ertinya kebahagian dan kemewahan dunia jika pencarian kita tidak seiring dengan keperluan akhirat.

Anak sulong adalah 'role-model' kepada adik-adik. Biasa kita mendengar didikan anak sulong banyak yang lompong kerana pertama kali menjadi ibu-bapa. Ini bukan alasan untuk menjadikan didikan solat diambil sebagai sambil lewa. Anak sulong wajar didik dan diterapkan dengan sempurna tentang kepentingan solat dan didikan akhlak. Jika anak sulong dapat kita didik dengan baik berkenaan perkara ini, mudahlah kita sebagai ibu bapa memastikan anak-anak yang seterusnya melaksanakan solat.

Janji Allah itu pasti, di kala lemah, menemui jalan buntu dalam mendidik anak, bersabarlah. Hiburkan hati dengan mengingat ganjaran daripada Allah kepada hambanya yang bersolat. Begitu juga pahala dan balasan syurga bagi ibu bapa yang mendidik anak dan keturunan menunaikan solat. Lumrah sebagai insan yang lemah ada masanya motivasi kita naik dan turun. Ubat hati, gembirakan dengan mengingat gganjaran-ganjaran yang dijanjikan Allah. Ini menjadikan kita sebagai ibu bapa sentiasa bersemangat dan tidak jemu memantau solat yang dilakukan anak-anak.

Terakhir sekali, berdoalah kerana doa itu senjata mukmin. Doa ibu bapa adalah senjata yang paling ampuh untuk mendapat dan melahirkan zuriat yang baik.  Berterusan memohon doa kepada Allah dalam usaha kita mendidik anak-anak. Hanya Allah yang mampu memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya.


Berusahalah kita menjadi ibu bapa yang baik. Didik anak layak untuk masuk ke syurga.



No comments:

Post a Comment

Selamat Tahun Baru 2020

Dah masuk minggu ke 3 Januari 2020, baru hari ni tiba-tiba datang semangat dan keinginan nak menulis semula. Awal menulis di blog ini dulu t...