Alhamdulillah sebulan lagi Nublah berumur 6 tahun. Menjadi kebanggaan saya sebagai seorang ibu bila Nublah sudah boleh membaca dengan baik atas bimbingan saya. Walaupun mungkin pada sesetengah orang anggap itu perkara biasa.
Saya tak mampu nak konsisten mengajar Nublah di rumah, kerana adik-adik Nublah juga perlu perhatian. disamping tugas-tugas hakiki sebagai sorang surirumah. Walaupun tak ada jadual yang khusus untuk dia belajar , tapi saya mengambil peluang yang ada walaupun sekejap untuk mengajar dia membaca, matematik, Read Easy dan perkara wajib setiap hari adalah mengaji. Sejak pandai membaca ni, dia memang suka membaca buku. Saya seronok melihat dia membaca.
Saya sendiri suka membaca sejak kecil, walaupun tak ada peluang memiliki buku cerita atau membeli buku kegemaran. Tak pernah ada koleksi buku cerita, buku bacaan, atau majalah yang di belikan. Kalau adapun buku cerita atau majalah di rumah, itu adalah pemberian orang dan saya kan ulang baca sampai lunyai.Lahir dalam keluarga sederhana, dan dibesarkan nenek, pernah saya mintak buku cerita dengan nenek, nenek pun tak tahu buku cerita tu macamana. Nenek saya tak tahu membaca, bila ikut dia ke bandar Muar saya akan ajak dia beli buku, dia pun tak tahu nak beli buku dekat mana.
Zaman saya sekolah rendah biasa akan ada orang datang ke sekolah menjual buku. Biasa 3 atau 4 hari sebelum mereka datang menjual, guru kelas akan edarkan list buku yang dijual beserta harga. Saya memang seronok dapat list buku . Dari sekolah nanti saya akan tanda-tandakan buku-buku yang saya suka. Balik rumah akan tunjukkan list buku tu kepada nenek atau emak dengan harapan mereka akan beri duit untuk saya beli.
Tapi memang tak pernah dapat dan saya memang sedih menangis-nangis. Ada sekali tu memang saya macam mengamuk dan menangis-nangis nak beli buku, emak tak beri duit untuk saya beli. Saya pergi ke sekolah hari tu dengan mata bengkak menangis dan hampir dilanggar kereta kerana bawa basikal masa tu macam hilang fokus.
Bila di sekolah kadang-kadang ada kawan-kawan bawak buku , saya seronok meminjam untuk dibaca. Kelakarnya buku peribahasa, kamus dan kadang-kadang buku cerita menjadi bahan bacaan saya. Mujur ada perpustakaan sekolah di situlah tempat saya meminjam dan membaca buku dengan puas. Paling saya seronok kalau kawan bawak majalah Dewan Pelajar atau Majalah Bujal dan Majalah Kuntum. Siapa yang membesar zaman 80an atau awal 90 an pasti ingat akan majalah ini. Zaman tu masuk darjah satu baru nak kenal ABC
Disebabkan pengalaman itu, saya jadi tidak berkira bab membeli buku samada untuk anak atau untuk diri saya sendir. Kadang-kadang buku yang dibeli jadi perhiasn dinding je dan tak habis baca.Anak kecil-kecil menjadi cabaran jugak untuk saya konsisten membaca dan buku-buku juga kadang-kadang menjadi medan untuk anak-anak berkarya. Saya sangat berharap anak-anak saya semuanya menjadi insan yang suka membaca. Bak kata peptah yang 'glamour' sejak saya zaman sekolah iaitu "Membaca Jambatan Ilmu". Biar mereka tahu betapa luas dan darjatnya orang berilmu.
Menjadi kepuasan juga untuk saya bila semua anak-anak suka dibacakan buku dan suka buku walaupun anak yang ke dua dan ke tiga masih belum boleh membaca.
Semoga Nublah dan adik-adik menjadi insan yang suka membaca.
No comments:
Post a Comment