Saya tersedar jam 4.45 pagi untuk sahur. Sempat sediakan telur dadar dan tempe goreng untuk bersahur. Sementara menunggu subuh saya tidurkan Nisrina yang turut berjaga sedang saya kalut sediakan juadah sahur. Akhirnya saya juga tertidur. Itulah masalah saya dan rasanya ibu-ibu yang menyusukan anak. Bila nak menidurkan anak dengan diri sendiri tertidur.
Tersedar jam hampir 6.30 pagi itupun kerana terdengar bunyi motor suami yang balik dari masjid. Usai mengerjakan kewajipan kepada yang Maha Pencipta, seperti biasa rutin harian kumpulkan baju kotor, sapu sampah, kemas tempat tidur dan mengemas dapur yang tak sempat di kemas selepas sahur tadi.
Sambil menyidai baju saya ambil peluang melihat tanaman saya di tepi rumah. Alhamdulillah rezeki kacang panjang dan bendi yang berbuah tidak putus-putus. Pokok-pokok lain tidak terbela sejak ada anak kecil dan saya rancang untuk menanam semula selepas Aidilfitri nanti.
Jualan tudung budak yang saya jalankan secara dropship sudah sedikit perlahan hari ini, mungkin kerana sudah hampir hari raya dan orang menjangkakan kiriman di minggu-minggu terakhir ini tidak akan sampai sebelum raya. Alhamdulillah sempena nak raya ni saya ada sedikit wang tambahan hasil dropship tudung budak. Alhamdulillahh walau pun nilainya tidak beribu, saya bersyukur mampu menjana wang dari rumah secara sambil-sambilan. Rezeki Allah beri, sedikit ke banyak ke tetap kena brsyukurkan.
Hati saya sedikit terganggu petang tadi bila ternampak ada insan tak berpuasa tanpa segan silu menghisap rokok di dalam kawasan kejiranan saya. Allah!! macamana boleh hilang rasa malu sebegitu sekali menonjolkan kejahilan diri. Saya terbayangkan wajah anak-anak saya yang akan membesar di sini dalam suasana begini, semoga Allah pelihara anak-anak saya dan kawan-kawan mereka dari anasir-anasir yang tidak baik.
Untuk juadah berbuka saya sediakan mee goreng dan nasi putih berlaukkan sambal tumis sotong dan saya seimbangkan dengan ulam-ulaman. Memang menjadi tabiat saya sejak berkahwin akan masak cukup-cukup tanpa ada lebihan. Berbuka dengan sorang sedikit mee goreng dan di tambah sedikit nasi putih, selepas isya' dah tak ada makanan nak makan. Anak-anak mengadu kelaparan, saya gorengkan anak-anak dan suami keledek sebagai alas perut sebelum tidur. Dari 1 Ramadan hingga sekarang kami tidak makan di luar. Alhamdulillah, dapat mendidik nafsu dan keinginan nak makan macam-macam. Paling ringkas yang saya pernah masak adalah ikan pindang dan nasi putih sahaja dan anak-anak makan tanpa banyak bicara.
Bila anak-anak dan suami dah tidur, inilah masa saya membuka laptop dan mencoretkan sedikit catatan ini dan seterusnya bertemu dengan kekasih yang tidak jemu mendengar rintihan dan doa saya.
Alhamdulillah done! Ramadan hari ke 22.
No comments:
Post a Comment