Alhamdulillah Nisrina dah mula berdiri dan acah-acah nak menapak dalam usia 6 bulan 24 hari. Semakin ramai anak semakin banyak pengalaman kita membesarkan mereka. 4 orang anak. Kalau anak seorang dulu lengkap segala kelengkapannya. Semakin ramai anak, saya semakin minimal. Alhamdulillah sebelum berpindah sempat mengikuti Kursus Ibu Bapa profesional di Nury Bukit Antarabangsa. Pendekatan berbeza dengan masyarakat kita menjaga bayi dalam pantang namun Alhamdulillah nampak perbezaan yang ketara dalam perkembangan bayi.
Sebaik sahaja dilahirkan Nisrina 'skin to skin' dengan saya dalam tempoh yang lama. Alhamdulillah dapat skin to skin yang lama kerana Nisrina saya lahirkan di rumah. Nisrina memang bayi yang sangat tenang sejak dari kelahirannya, tanpa banyak ragam hingga sekarang, Tak pernah berjaga malam, menangis tanpa sebab atau susah ditidurkan. Sejak hari ke dua kelahirannya saya letakkan dia dalam keadaan tiarap. Sesekali ditelentangkan memang atas tilam nipis tanpa bantal. Hingga sekarang tidur memang tak berbantal . Ini bagi membantu perkembangan otak bayi dan mengelakkan kepala bayi jadi leper.
Tanpa sapuan sebarang minyak, syampu atau mandian, juga sarung tangan, sarung kaki mahupun bedung, Nisrina belajar mengenal dunia sekelilingnya.Dengan menggunakan tangan dan kaki dan seluruh anggota badannya Nisrina belajar menyentuh dan merasa apa sahaja yang ada berdekatan dengannya. Dirumah saya hanya memakaikannya baju dan diaper tanpa seluar. Ini untuk memberi peluang untuk mengaktifkan seluruh deria. Bila diletakkan dalam keadaan tiarap, bayi akan berlatih mengangkat kepala, ini menguatkan otot perut dan mengurangkan risiko kembung kerana perut terhempap. Dalam tempoh sebulan pertama Nisrina sudah belajar bergerak kedepan menggunakan otot kakinya. Dalam usia 2 bulan otot leher sudah kuat, masuk usia 3 bulan otot tangan sudah kuat dan sudah cuba mengangkat badan dan akhirnya berjaya meniarap sendiri pada usia 3 bulan.
Pada usia 4 bulan Nisrina sudah mempunyai kaki yang kuat dan boleh berdiri tanpa di pegang. 5 bulan merangkak dan sekarang dalam usia 6 bulan sudah boleh duduk, berdiri sendiri dan berjalan memapah dengan menyusur menggunakan barang yang di pegang.
Alhamdulillah bukan niat berbangga, cumanya bila kita percaya dan memberi peluang untuk bayi belajar dan bantu mengenal dunia baru mereka, Inshaallah mereka lebih cepat sesuaikan diri dan mudah diurus. Saya tidak menggunakan walker untuk anak-anak saya semasa kecil, mereka bebas meneroka dan bergerak di dalam rumah . Saya percaya setiap satu yang mereka pegang, sentuh, cuba dan buat adalah proses belajar untuk mereka. Cumanya pastikan persekitaran rumah adalah selamat untuk bayi kita bereksplorasi.
Bertatihnya anak mengenal dunia, bertatih jugak ummi mencri ilmu untuk membimbing anak-anak.

No comments:
Post a Comment