Aktiviti melukis sememangnya antara aktiviti yang digemari anak saya.Cara saya, saya sentiasa menyediakan kertas A4 dan sebekas pensil warna untuk anak-anak melukis dan mewarna.Setiap kali lepas melukis mereka akan tunjukkan hasilnya pada saya dan amat seronok jika lukisan mereka mendapat pujian. Hasil lukisan tersebut akan mereka tampal di dinding bilik mereka.
Melalui pembacaan saya dari buku Anak Cerdas,Anak Indah, Method Mendidik Anak Sesuai Fitrah oleh Mansur Hj Sukaimi, kita boleh memulakan seawal usia 3-6 bulan dengan ibu dan ayah sendiri melukis dan anak melihat apa yang dilukis. Anak-anak ini akan merakamkan dalam memori mereka jika aktiviti tersebut dilakukan berkali-kali hingga tiba masanya anak tersebut mampu memegang pensil, gambaran yang sering dilukiskan oleh ibu ayah tersebut akan 'keluar' dan anak tersebut akan mampu melukisnya dengan mudah.
Untuk melukis dan menulis, anak-anak perlu melihat dengan dekat (near fokus). Untuk membantu anak membina fokus dekat sejak dari kecil, jangan meletakkan anak dalam posisi terlentang sepanjang masa kerana dalam posisi tersebut, anak akan lebih banyak memandang jauh dan tidak berlatih fokus dekat. Selain daripada itu, beri peluang untuk anak merangkak dan menyelaragar tumpuan matanya di arah ke lantai (near fokus) dan jari-jarinya cepat terbuka.
Peringkat awal, melukis dan menulis bagi anak kecil adalah satu aktiviti yang bebas, kita sebagai ibu bapa jangan terlalu memandang kesempurnaan, inginkan anak mewarna dalam ruang, menulis ikut garisan dan menetukan warna-warna yang dipilih. Berikan mereka kebebasan dahulu agar tidak kekok memegang pensil. Idea dan kreativiti mereka akan berkembang.
Jika anda ibu bapa yang 'jiwa kering' pasti mampu tersenyum melihat mural yang dihasilkan anak-anak di dinding rumah. Saya percaya kebolehan dan kekereatifan anak-anak saya melihatkan hasil contengan mereka di dinding.


No comments:
Post a Comment