Sunday, 26 March 2017

Resepi kuih bom


Dalam perjalanan balik dari rumah bapa saudara di Felda Sening, kami singgah beli ubi keledek, ubi kayu dan kelapa. Sepanjang perjalanan dari Kota Tinggi ke Kulai banyak boleh di lihat gerai-gerai yang menjual hasil-hasil tanaman seperti itu. Alhamdulillah setakat yang kami beli biasanya harga sangat berpatutuan dan bahan jualannya semua masih dalam keadaan segar dan elok. Oleh kerana anak kecil saya sedang menyusu, hanya suami saya yang turun membeli. Bila sampai rumah sekali tengok 5 biji kelapa di beli suami. Bukan kelapa tua, tetapi kelapa basah. Kelapa sudah tua tetapi masih belum bersantan. Sayangkan kelapa tersebut takut rosak, saya buatkan inti kelapa.

Dapat satu bekas besar dan oleh kerana saya buat tidak berapa manis, inti kelapa tersebut tidak akan bertahan lama. Lempeng sudah, pau sudah,roti kelapa sudah apa lagi saya nak buat dengan inti tersebut. Lalu terlintas di fikiran membuat kuih bom. Selongkar bahan-bahan di dapur semuanya cukup. Maka terhasillah kuih bom sebagai menu minum petang kami.

Membuat kuih bom ni tak sesukar mana pun. Dan bahan yang tidak banyak. Teringat zaman-zaman masih bekerja di KUala Lumpur dulu. Bila bulan Ramadan teringin makan kuih bom, beli di pasar ramadan, rasanya sangatlah mengecewakan.  Alhamdulillah ada peluang buat sendiri sekarang. 

Bahan-bahan untuk inti
Kelapa parut
Gula melaka di racik-racik
Air
Daun pandan

Cara-caranya 
Masukkan air ke dalam periuk bersama gula melaka yang telah di racik, masukkan juga daun pandan yang telah di simpul. Setelah gula hancur dan air gula hampir pekat, masukkan kelapa parut. Kacau sehingga kering. Biasa orang buat akan letak gula pasir sedikit untuk tambah manis. Saya kurangkan manis untuk sesuaikan dengan menu anak-anak. Tapi biasanya kalau kurang gula. Inti tidak tahan lama. Jadinya kena di habiskan segera.

Bahan-bahan untuk kulit
2 cawan tepung pulut
Air 
Sedikit garam
Bijan secukupnya 

Cara-caranya
Bancuh garam dengan air. Masukkan tepung ke dalam bekas. Masukkan air sedikit demi sedikit hingga tepung tidak melekat di tangan. Ambil tepung yang telah di bancuh tadi leperkan di atas tangan, letakkan inti yang telah dibulat-bulatkan. Bulatkan kembali dan golek-golekkan atas bijan hingga meliputi semua bahagian kuih.

Panaskan minyak.. goreng kuih  dengan api sederhana. Pastikan kuih betul-betul tenggelam. Jangan terlalu lama di khuatiri akan meletup. Agak-agak agak perang bolehlah diangkat dan hidangkan.

Alhamdulillah setakat yang saya buat, tiada lagi kejadian meletup di dalam kuali.
Semoga bermanfaat. 






No comments:

Post a Comment

Selamat Tahun Baru 2020

Dah masuk minggu ke 3 Januari 2020, baru hari ni tiba-tiba datang semangat dan keinginan nak menulis semula. Awal menulis di blog ini dulu t...