Nak bercerita pengalaman berniaga, rasanya pengalaman pertama berniaga semasa berumur 9 tahun. Waktu tu memang ingat sangat, saya ikut arwah nenekke Bandar Muar. Masa tu bulan Ramadan. Kami keluar berjalan kaki dalam 1 km untuk menunggu bas ke bandar.
Di bandar Muar hingga kini memang terkenal kedai buku Pustaka Hussien. Di situlah arwah nenek saya belikan sebungkus kad Raya yang didalamnya mengandungi 12 keping kad. Harga sebungkus kad raya tersebut hanya seringgit dua puluh sen sahaja. Ini bermaksud sekeping kad raya harganya hanya jatuh sepuluh sen sahaja.
Balik ke rumah saya membelek-belek kad raya tersebut. Cantik-cantik semuanya, ada gambar kucing, gambar ketupat, gambar pemandangan kampung dan macam-macam lagi. Timbul idea masa tu untuk menjual pada kawan-kawan. Saya meletakkan harga antara lima puluh sen hingga dua puluh sen. Tidak diduga semuanya habis sekelip mata.Selepas itu saya ada juga cuba-cuba menjual gula-gula dan keropok di sekolah.Sungguh waktu tu berniaga bukan kerana nak untung sangat tetapi seronok orang nak membeli.
Melangkah ke alam sekolah menengah, saya langsung tidak pernah cuba untuk berniaga. Masuk ke universiti, saya bersama seorang sahabat baik saya, kami cuba berniaga. Saya dan sahabat saya menjual kaset-kaset, poster motivasi dan buku-buku keluaran Telaga Biru. Alhamdulillah merasalah jugak memegang duit sendiri hasil berniaga sambil-sambilan tersebut.
Habis belajar saya langsung tak berniaga sehinggalah berkahwin dan mengandungkan anak ke tiga, tiba-tiba minat berniaga datang semula. Pantang mendengar sebarang program berdekatan rumah dan menawarkan tapak berniaga, saya akan ajak suami berniaga. Macam-macam benda yang saya jual antaranya habbatussauda, susu kambing, roti, minyak angin aromaterapi dan macam-macam lagilah. Penat memang penat tetapi seronok walaupun untungnya tak seberapa.
Selepas melahirkan anak ke tiga pada tahun 2015, suami mendapat tawaran kerja di Kilang Sawit FGV di Selatan tanah air. Akhirnya saya berhenti kerja dan ikut suami berpindah dan memang langsung tidak berniaga.
Kini setelah hampir 2 tahun menjadi surirumah, saya belajar-belajar berniaga secara online sejak Ramadan 2015. Saya menjadi agen dropship untuk tudung, telekung dan buku kanak-kanak. Alhamdulillah walaupun tidak banyak mana keuntungan yang diperoleh, saya gembira kerana saya belajar semula untuk berniaga.
No comments:
Post a Comment